Ramsay Anak Embol
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Supt. Ramsay Anak Embol bercakap kepada media pada Ops Lejang Bersepadu di Dataran Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 06 JUN 2020

SHAH ALAM – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes kecurian motosikal di sekitar Shah Alam selepas tertangkapnya suspek dalam Op Lejang Khas sejak Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol berkata, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) daripada IPD Shah Alam telah menahan beberapa suspek terlibat pada awal pagi semalam.

“Ekoran daripada operasi ini juga kita telah ada kejayaan pada pagi tadi kira-kira 12.01 pagi Sabtu di mana pasukan JSJ D4 IPD Shah Alam telah berjaya menahan beberapa suspek untuk kecurian motosikal.

“Kes ini telah berlaku di kawasan rimba Seksyen 16 yang mana kita telah dapat menyelesaikan lebih kurang sebanyak 10 kes curi motosikal di kawasan pentadbiran Shah Alam dengan tertangkapnya beberapa suspek dalam kes tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di Dataran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, malam ini.

Op Lejang Khas Bersepadu IPD Shah Alam
Di antara penunggang motosikal yang ditahan oleh anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam berikutan kesalahan tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh pada Ops Lejang Bersepadu di Dataran Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 06 JUN 2020.

Menurut Ramsay, Op Lejang Khas Bersepadu IPD Shah Alam yang bermula Jumaat hingga Isnin melibatkan 10 pegawai dan 123 anggota polis melibatkan semua balai dan pasukan khas IPD Shah Alam.

“Malam ini kita menjalankan operasi Op Lejang Khas Bersepadu yang berkonsepkan agresif policing dan tindakan pro aktif di mana semua balai dan pasukan khas dalam IPD Shah Alam seperti trafik, narkotik, JSJ, JPKK dan juga balai-balai kita membuat operasi bersepadu.

“Ia bagi membendung masalah kecurian kenderaan di dalam daerah Shah Alam. Setakat tahun 2020 ini untuk Mei sahaja sebanyak 156 kes dilaporkan untuk kecurian kenderaan,” katanya.

Di antara penunggang motosikal yang ditahan oleh anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam berikutan kesalahan tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh pada Ops Lejang Bersepadu di Dataran Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 06 JUN 2020.

Jelasnya, kebanyakan kes yang menyumbang kepada jenayah di Shah Alam melibatkan kecurian motosikal dan pihaknya telah berjaya menahan dua buah motosikal yang disyaki hilang dalam daerah Shah Alam.

“Kita juga telah menjumpai lebih kurang beberapa rangka motosikal. Suspek warga tempatan, dia duduk dalam sekitar Shah Alam, siasatan masih diteruskan,” katanya.

Katanya lagi, bagi Op Lejang Khas Bersepadu IPD Shah Alam pada hari kedua iaitu pada malam Sabtu, pihaknya juga telah berjaya membuat satu tangkapan lagi berkaitan dengan kecurian motosikal di Shah Alam.

“Untuk malam ini (malam tadi) kita ada buat satu tangkapan oleh polis trafik tadi motosikal curi,”

Ramsay berkata, seramai 30 individu ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk suspek kes curi motosikal dan lelaki yang memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol.

“Dalam operasi bersepadu ini, polis melakukan pemeriksaan ke atas 484 individu diperiksa, 373 kenderaan dan 28 premis dan sebanyak 124 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Suspek yang memandu di bawah pengaruh alkohol itu ditahan mengikut Seksyen 45(a)(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, ” katanya.

Beliau berkata, seramai 20 warga tempatan termasuk tiga wanita ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dalam operasi bersepadu itu.

“Semua suspek ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1983 dan Seksyen 39B ADB 1952,” katanya.

Sementara itu, Bahagian Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti Daerah (BPJKKD) pula menahan empat warga tempatan termasuk seorang wanita mengikut Seksyen 12(2) ADB.

Katanya, polis turut menahan dua suspek lelaki warga tempatan yang dikehendaki mengikut Seksyen 15(1)(A)ADB 1952. – MalaysiaGazette