KUALA LUMPUR – Harga kenderaan pemasangan tempatan dijangka turun sebanyak tujuh hingga lapan peratus susulan insentif yang diumumkan oleh Perdana Menteri di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana).
Manakala harga kereta import pula dijangka dikurangkan sebanyak tiga hingga empat peratus.
Kenanga Research dalam nota penyelidikannya berkata, berita gembira itu diharapkan dapat menaikkan jualan kenderaan menghampiri sasaran 2020 iaitu 420,000 unit.
“Cukai jualan bagi kenderaan pemasangan tempatan secara purata adalah tiga peratus selepas mengambil kira insentif di bawah Industrial Linkage Program (ILP),” katanya.
Jumaat lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pengecualian cukai jualan sebanyak 100 peratus ke atas jualan kereta penumpang pemasangan tempatan.
Bagi kereta penumpang diimport, pengecualian cukai jualan sebanyak 50 peratus diberikan kepada pembeli.
Inisiatif yang berkuatkuasa mulai 15 Jun 2020 hingga 31 Disember 2020 adalah bagi menggalakkan pertumbuhan industri automotif tempatan, katanya. – MalaysiaGazette
Cukai jualan kereta pemasangan tempatan dikecualikan 100 peratus