Shahril Shamsuddin

KUALA LUMPUR – Tan Sri Shahril Shamsuddin dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Pusat penyelidikan dan pembangunan gunaan nasional (MIMOS) berkuatkuasa 18 Mei lalu.

Beliau menggantikan Datuk Wira Omar Kaseh yang telah menamatkan tempoh perkhidmatannya selama tiga tahun.

Ini merupakan kali kedua dalam tempoh dua belas tahun Shahril, 58, memegang jawatan yang sama.

Sebelum ini, beliau telah berkhidmat sebagai Pengerusi MIMOS dari 16 Januari 2005 hingga 4 Julai 2008.

Semasa penggal pentadbiran beliau terdahulu di MIMOS, agensi ini telah menganjak fokusnya daripada pembangunan perniagaan kepada aktiviti R&D bagi pengkomersialan dalam mempertingkatkan daya saing negara.

MIMOS juga telah menjadi agensi kerajaan pertama yang komited dalam menerapkan unsur integriti dan etika sebagai sebahagian daripada tadbir urus korporat dalam mentransformasi budaya R&D nasional.

Pelantikan semula ikon minyak dan gas ini mengambil kira kepakaran beliau dalam bidang pengurusan, kepimpinan korporat dan keupayaannya dalam bidang-bidang intensif teknologi.

Seorang profesional yang berpengalaman luas, Shahril adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Energy Berhad. Sejak 2003, beliau telah menerajui transformasi kumpulan daripada kontraktor minyak dan gas tempatan kepada pembekal perkhidmatan dan penyelesaian industri minyak dan gas bertaraf global dengan operasi merentasi seluruh rantaian nilai industri huluan.

Di luar industri minyak dan gas, Shahril juga adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KumpulanSapura, yang menjalankan perniagaan pelbagai merangkumi teknologi komunikasi selamat, penerbangan, pengilangan automotif dan pembangunan hartanah. – MalaysiaGazette