Joging antara s

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Datuk Ser Dr Adham Baba menasihatkan orang ramai supaya merancang aktiviti luar termasuk hasrat mahu merentas negeri ketika pelaksanaan fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Katanya, walaupun teruja dengan kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan, namun mereka perlu membiasakan diri dengan normal baharu bagi mengawal penularan Covid-19.

“Dalam keterujaan ramai nak balik kampung dan melakukan aktiviti luar, kita minta orang ramai rancang pergerakan masing-masing.

“Kita bimbang jangkitan berlaku, syukur sudah 14 hari berlalu, kluster raya (Aidilfitri) tidak berlaku setakat ini.

“Maka, apabila PKPP diumumkan oleh Perdana Menteri, pelepasan dan pembukaan banyak sektor ekonomi, boleh rentas negeri, rakyat hendaklah membudayakan normal baharu.

“Rancang betul-betul pergerakan. Jika beramai-ramai khuatir (berlaku) jangkitan baharu. Patuh prosedur operasi standard (SOP), jangan berkumpul di tempat awamm,”
katanya.

Beliau berkata demikian menerusi perbualan telefon dalam satu rancangan terbitan radio terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), hari ini.

Menurut Dr Adham, kementerian berbangga apabila dalam tempoh 88 hari sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, ia dapat meratakan lengkungan jangkitan Covid-19, khususnya jangkitan tempatan.

Justeru, beliau berharap orang ramai dapat meneruskan tanggungjawab dengan membiasakan diri secara normal baharu ketika PKPP bagi mempertahankan kawasan hijau.

“Maksud pemulihan dalam PKPP ialah kita mahu laksanakan strategi dalam menghadapi pembukaan semua sektor ekonomi dan kita tetap perkukuh kesihatan awam, yang mana tangungjawab itu turut diberikan kepada komuniti.

“Permerkasaan komuniti untuk lindungi kawasan hijau. Jika dijangkiti, mesti asing dengan segera, cari kontak mereka, kuarantin di rumah, komuniti jaga sendiri supaya kawasan mereka tidak ada jangkitan,” ujarnya. – MalaysiaGazette