Kelihatan pengunjung yang tiba menaiki feri dari Terminal Feri Kuala Perlis berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang diumumkan oleh kerajaan pada 10 Jun yang lalu ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Terminal Feri Pulau Langkawi, Kedah. foto AFIQ RAZALI, 13 JUN 2020.

PULAU LANGKAWI – Hari keempat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menyaksikan orang ramai mula ‘menyerbu’ destinasi pelancongan domestik Pulau Langkawi untuk bercuti serta menziarahi kaum keluarga.

Pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan kebenaran rentas negeri bermula 10 Jun merupakan berita gembira yang dinanti-nantikan orang ramai setelah hampir tiga bulan ‘berkurung’ di kediaman masing-masing.

Kelihatan pengunjung yang tiba menaiki feri dari Terminal Feri Kuala Perlis berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang diumumkan oleh kerajaan pada 10 Jun yang lalu ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Terminal Feri Pulau Langkawi, Kedah. foto AFIQ RAZALI, 13 JUN 2020.

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang tamat pada 9 Jun lalu sememangnya memberi kelegaan emosi kepada seluruh rakyat apabila mereka kini lebih bebas bergerak selain pembukaan semula pelbagai sektor termasuk pelancongan.

Tinjauan MalaysiaGazette di Terminal Feri Kuala Perlis mendapati orang ramai mula beratur panjang seawal pukul 7 pagi untuk menaiki feri ke pulau peranginan yang terjejas teruk semasa pelaksanaan PKP dan PKPB.

Petugas di terminal berkenaan bersiap sedia di pintu masuk utama bagi melakukan pemeriksaan suhu badan dan mengutip borang pengisytiharan kesihatan yang telah siap diisi oleh penumpang.

Petugas keselamatan memeriksa suhu pengunjung yang hadir bagi menaiki feri menuju ke pusat peranginan Pulau Langkawi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang diumumkan oleh kerajaan pada 10 Jun yang lalu ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Terminal Feri Kuala Perlis, Perlis. foto AFIQ RAZALI, 13 JUN 2020

Menurut seorang pekerja swasta, Alisa Esoon, dia begitu gembira dengan pengumuman kerajaan yang memberi kebenaran rentas negeri lantas memanfaatkan kelonggaran itu untuk bercuti ke Pulau Langkawi.

Pengunjung, Alisa Esoon bercakap kepada lensa Malaysia Gazette ketika beratur untuk menaiki feri menuju ke pusat peranginan Pulau Langkawi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang diumumkan oleh kerajaan pada 10 Jun yang lalu di Terminal Feri Kuala Perlis, Perlis. foto AFIQ RAZALI, 13 JUN 2020.

“Memang teruja apabila dapat tahu sudah boleh rentas negeri selain lebih banyak sektor-sektor lain dibuka semula.

“Tapi orang ramai harus ingat bahawa negara masih dalam proses pemulihan dan setiap kali berada di tempat awam kebersihan haruslah diutamakan selain sentiasa beringat untuk menjarakkan diri antara satu sama lain,” katanya yang berasal dari Perlis.

Sementara itu, seorang pengunjung dari Kuala Kubu Bharu, Mohamad Shapidi Abu Bakar berkata, kesempatan rentas negeri digunakan sebaiknya bagi membawa seluruh keluarga bercuti ke destinasi tumpuan pelancong itu selepas pulang menziarahi ibu bapa di Jitra, Kedah.

Pengunjung, Mohamad Shapidi Abu Bakar bercakap kepada lensa Malaysia Gazette ketika beratur untuk menaiki feri menuju ke pusat peranginan Pulau Langkawi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang diumumkan oleh kerajaan pada 10 Jun yang lalu di Terminal Feri Kuala Perlis, Perlis. foto AFIQ RAZALI, 13 JUN 2020.

Kata Mohamad Shapidi, perasaannya bercampur baur selepas mendapat tahu mengenai berita kebenaran untuk merentas negeri.

“Apa pun alhamdullilah, rasa gembira ada, risau pun ada. Yang paling penting sentiasa ingat kawalan kendiri,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pengunjung dari Bayan Baru, Pulau Pinang yang enggan dikenali juga bersyukur dengan kebenaran rentas negeri yang diberikan oleh kerajaan kerana akhirnya dia dapat menjenguk cucu yang dilahirkan sebelum pelaksanaan PKP.

“Saya merancang untuk menziarahi cucu serta anak menantu sebelum PKP lagi namun hasrat itu terbantut ekoran larangan rentas negeri yang dikuatkuasa ketika itu.

“Tetapi sekarang sudah ada peluang dan saya sudah tak sabar untuk tiba di sana dan melawat mereka,” ujarnya.- MalaysiaGazette