Kai Havertz

LONDON – Chelsea tidak mempunyai halangan untuk menandatangani pembelian bintang Bayer Leverkusen Kai Havertz selepas Manchester United tarik diri untuk membeli pemain itu.

Ia sekaligus mencerahkan kedudukan dan peluang the Blues bimbingan Frank Lampard untuk merekrut pemain itu ke Stamford Bridge tidak lama lagi.

Chelsea begitu serius untuk mendapatkan khidmat pemain muda berusia 21 tahun tersebut dan membuka rundingan bersama Leverkusen minggu lalu.

Kelab Liga Perdana Inggeris itu menyediakan dana berjumlah £75 juta pound dan dirasakan nilai yang munasabah untuk memujuk Leverkusen melepaskan pemain itu.

Leverkusen juga dilaporkan bersedia untuk menjual bintang muda itu dengan nilai yang munasabah mengikut harga pasaran semasa dan menjangkakan perang rebutan antara kelab elit Eropah.

Bagaimanapun laporan Daily Star di UK mendakwa, The Red Devils yang dikhabarkan turut berminat dengan pemain sasaran Chelsea kini menarik diri.

Manchester United dipercayai sudah mengalih fokus untuk membeli perancang tengah Ajax Donny van de Beek.

Pemain muda itu menarik perhatian serius kelab-kelab elit Eropah sejak 12 bulan lalu dan dilaporkan bernilai £44 juta pound sahaja.

Angka itu ternyata lebih rendah berbanding Havertz dan fokus skuad Solskjaer memberi suntikan semangat untuk Chelsea memuktamadkan khidmat Havertz setelah mengesahkan pembelian Hakim Ziyech dan menghampiri peluang untuk mendapatkan khidmat Tomo Werner yang turut menjadi tumpuan Liverpool.

Liverpool dan Bayern berminat dengan Havertz tetapi sehingga kini kedua-dua kelab itu tidak mengemukakan sebarang bidaan serius untuk mendapatkan pemain itu.- MalaysiaGazette