Ketua Dewan Penyokong PAS, N Balasubramaniam menurunkan tandatangan selepas mengangkat sumpah semasa Upacara Mengangkat Sumpah Ahli Dewan Negara di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 16 JUN 2020.

KUALA LUMPUR – Senator Balasubramaniam Nachiappan berazam mahu menggunakan pengalaman politik sepanjang bersama dengan Pas untuk menghapuskan fahaman rasis yang mengganggu gugat keharmonian dan perpaduan rakyat.

Pengerusi Dewan Penyokong Pas Pusat yang berusia 62 tahun dan berasal dari Jerantut, Pahang itu berkata, itu antara fokus utama untuk dilaksanakan menggunakan kedudukannya sebagai Ahli Dewan Negara selepas ini.

Pemimpin berkelulusan Sijil Asas Fahaman Islam Dakyah Islamiyah dari Kolej Universiti Islam Zulkifli Mansor itu juga kini mempunyai tanggungjawab besar untuk mengintegrasikan perpaduan sesama rakyat.

“Kalau sesuatu isu rasis dicetuskan, ia memecahbelahkan rakyat yang hidup sebumbung di bawah naungan Yang Dipertuan Agong kita.

“Kita mesti betulkan keadaan kembali normal semula dan itu adalah misi utama saya.

“Saya menganggotai Pas sejak tahun 2007 lagi dengan latar belakang akademik juga mempunyai sijil fahaman mengenai Islamiah, setakat ini, tiada sebarang masalah perbezaan pendapat atau unsur rasis.

“Ideologi saya dan juga semua ahli bukan Islam diterima dan dialu-alukan secara positif oleh para ahli dan ulama Pas selama ini .Jika saya boleh berjaya maka saya mahu membawa konsep sama untuk memastikan rakyat sentiasa bersatu padu tanpa diracuni unsur perkauman,” ujarnya kepada pemberita dalam sidang media.

Beliau berkata demikian selepas selesai mengangkat sumpah sebagai senator atau Ahli Dewan Negara di hadapan Yang DiPertua Dewan Negara, Tan Sri S.A. Vigneswaran di Parlimen.

Turut mengangkat sumpah sebagai senator untuk sepenggal bertempoh tiga tahun adalah Tan Sri Rais Yatim yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan.

Balasubramaniam merupakan salah seorang pemimpin Dewan Penyokong Pas bukan Islam yang komited dan dikenali sebagai berdedikasi dalam kalangan para ulama serta pemimpin Pas.

“Saya mahu mengucapkan setinggi penghargaan kepada Presiden  Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan juga Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kerana memilih saya untuk menganggotai Dewan Negara yang mulia ini untuk membina negara bersama-sama.

“Saya akan memastikan kepercayaan yang diberikan itu dilaksanakan sepenuhnya dengan bertanggungjawab,” tegasnya.-MalaysiaGazette