Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah.

KUALA LUMPUR – Hukum seseorang melakukan Lathi Challenge atau Cabaran Lathi adalah haram dan berdosa kerana ia mempunyai unsur-unsur pemujaan yang dikhuatiri akan menjerumuskan pelakunya ke dalam perbuatan syirik dan kekufuran.

Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah menasihatkan umat Islam supaya tidak terikut dalam cabaran-cabaran berbentuk pemujaan dan ritual demi menjaga akidah.

“Setakat maklumat yang kami dapati, Cabaran Lathi ini pada mulanya dipopularkan oleh Jharna Bhagwani di aplikasi TikTok, kemudian ia tular di media sosial dan ramai menyahut cabaran itu.

“Cabaran di mana pelaku akan mengenakan pakaian ala-ala tradisional nusantara (Jawa) dengan menari mengikut alunan lagu, lalu tiba-tiba menukar wajah dan pakaian mereka menyerupai hantu yang mengerikan.

“Lathi diambil daripada bahasa Jawa Kuno yang membawa maksud lidah. Ia menjadi judul sebuah single dinyanyikan Weird Genius yang berduet bersama Sara Fajira,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Irsyad Al-Fatwa Siri ke-521: Hukum melakukan Lathi Challenge yang dimuat naik dalam laman Facebook (FB) rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, semalam.

Luqman berkata, di dalam muzik video rasmi itu, terdapat elemen joget dan tarian yang berunsur ritual mistik.

Menurutnya, di dalam lirik lagu itu turut mempunyai bait-bait yang dikatakan mengandungi pemujaan roh dan menyeru makhluk halus.

Katanya, pihaknya menegaskan tindakan menularkan cabaran seperti itu tidak sepatutnya dilakukan, tambahan pula membabitkan perkara yang bertentangan dengan akidah Islam.

“Hal bersandarkan kepada hadis dari Jarir Ibn Abdillah, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Barangsiapa melakukan sunnah yang baik, lalu diikuti amalan itu, maka baginya pahala dan pahala orang yang mengikutinya, tidak berkurang daripada pahala mereka sedikitpun.

“Barangsiapa yang melakukan perkara yang buruk, lalu diikuti amalan itu, maka baginya dosa dan dosa orang yang mengikutinya, tidak berkurang daripada dosa mereka sedikitpun. Hadis riwayat Muslim: 2675

“Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka mereka tergolong daripada golongan mereka. Hadis riwayat Abu Daud: 4031,” katanya.

Katanya, pihaknya menasihati orang ramai supaya berhenti menular dengan berkongsi video di media sosial serta tidak terbabit dalam cabaranberbentuk pemujaan dan ritual untuk menjaga akidah. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Faizal kritik #lathichallenge aksi solekan jadi ‘hantu’

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast