Cheah Liek Hou

KUALA LUMPUR – Jaguh perseorangan badminton para negara, Cheah Liek Hou kini bekerja keras untuk mendapatkan semula penampilan terbaiknya selepas kembali menjalani latihan seperti biasa, dua minggu lepas.

Pemain kidal berusia 32 tahun yang berlatih di bawah bimbingan bekas pemain kebangsaan, Rashid Sidek mendedahkan bahawa beliau kehilangan berat badan sebanyak lapan kilogram selepas kembali menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, minggu lalu, dan sangat bersemangat menjalani latihan walaupun terpaksa menukar waktu tidur.

“Oleh kerana tidak mempunyai sebarang kejohanan, saya ada masa untuk meningkatkan kecergasan dan mengelak daripada kecederaan.

“Saya risau mengenai kondisi saya tapi secara mental, saya berfikir seperti atlet lain dan kekal positif. Saya sentiasa berhubung dengan jurulatih untuk berbincang mengenai langkah seterusnya,” katanya dalam laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF) www.bwfbadminton.com.

Liek Hou yang dalam misi memburu pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo, berkata penangguhan temasya itu memberi kelebihan buatnya kerana mempunyai banyak masa untuk melakukan persiapan yang lebih baik sebelum aksi sebenar.

Sementara itu, Rashid mendedahkan bahawa mereka kini sedang dalam proses meningkatkan tahap kecergasan Liek Hou, di samping menggilap kemahiran sedia ada berikutan tidak menjalani latihan seperti kebiasaannya kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung jangkitan COVID-19.

“Memandangkan masih belum ada maklumat mengenai kejohanan, rasanya tidak perlu untuk memberi tekanan. Apa yang penting adalah untuk memastikan dia berada dalam keadaan cergas dan bebas kecederaan,” katanya yang pernah meraih kejayaan gemilang pada era 90-an.

Rashid yang juga pemenang pingat perak di Sukan Olimpik Atlanta 1996, berkata rehat panjang ekoran pelaksanaan PKP telah memberi kesan kepada prestasi semasa Liek Hou, yang sebelum ini sentiasa mempamerkan aksi cemerlang setiap kali bertanding.

“Agak kurang baik untuk dia kerana sebelum PKP, dia berada di puncak prestasi dan bersedia untuk bertanding di temasya Sukan Paralimpiks 2020. Faktor umur juga diambil kira.

“Pemain yang bertanding secara berterusan, rehat adalah sesuatu yang membantu tapi rehat terlalu lama boleh memberi kesan kepada prestasi dan momentum,” tambah Rashid.

Sejak menjalani latihan bersama Rashid, Liek Hou melakar beberapa kejayaan termasuk menjuarai kategori SU5 (kecatatan anggota bahagian atas) di Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Brazil dan Peru 2020.

Temasya Sukan Paralimpik 2020 yang dijadualkan pada 25 Ogos hingga 6 Sept tahun ini, bagaimanapun ditunda ke 24 Ogos hingga 5 Sept 2021, susulan pandemik COVID-19. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast