KUALA LUMPUR – Mesyuarat Khas Menteri-Menteri hari ini bersetuju secara dasarnya untuk memberi kebenaran kepada warga Singapura dan Brunei memasuki pintu sempadan negara ini.
Kebenaran itu termasuk dengan kelonggaran rakyat negara berkenaan tidak perlu membuat permohonan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), menjalani saringan Covid-19 dan kuarantin wajib di rumah.
Bagaimanapun, menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Singapura dan Brunei juga perlu memberi kelonggaran yang sama kepada rakyat Malaysia.
“Kebenaran ini tertakluk kepada persetujuan imbal balas iaitu memberi kelonggaran sama kepada rakyat Malaysia sebagaimana kita beri kelonggaran kepada rakyat mereka.
“Hal ini akan dibincangkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negara kita dengan rakan sejawatnya di Kementerian Luar Negara Singapura dan Brunei,” katanya pada sidang media khas Covid-19 di Putrajaya hari ini.
Ismail Sabri menjelaskan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini sedang memperhalusi senarai negara Zon Hijau yang mana individu yang bertolak dari negara di senarai zon itu tidak perlu menjalani proses kuarantin wajib selama 14 hari.
Namun mereka perlu memuat turun dan menggunakan Aplikasi MySejahtera bagi tujuan proses pemantauan, katanya.
Kata beliau, bagi yang berada di negara bukan Zon Hijau, mereka perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di rumah masing-masing.
Sementara itu, kata Ismail Sabri, bagi ekspatriat kategori EP2 dan EP3 pula, JIM sedang membuat pertimbangan untuk proses kemasukan semula ke Malaysia.
“Pakar teknikal asing yang diperlukan untuk kerja membaiki mesin, kapal dan lain-lain, mereka hanya perlu memohon Professional Visit Pass melalui Expatriate Services Division (ESD) Online terlebih dahulu.
“Mereka juga wajib menjalani saringan Covid-19 di negara asal ataupun di pintu masuk negara ini dan memuat turun aplikasi MySejahtera bagi proses pemantaun, manakala mereka dari Zon Hijau, tidak perlu menjalani proses kuarantin wajib 14 hari.
“Pelawat asing untuk tujuan medical tourism perlu melalui Kementerian Kesihatan dan mendaftar dengan Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) serta menjalani saringan Covid-19 di negara asal atau setibanya di Malaysia,” ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, mereka tidak perlu dikuarantin wajib dan akan dibawa terus ke hospital.
Berhubung pelajar antarabangsa yang belajar di IPTA, IPTS dan Sekolah Antarabangsa di Malaysia, beliau berkata, kerajaan akan merujuk kepada senarai pelajar Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pendidikan bagi tujuan pengesahan.
Pelajar itu perlu membuat saringan Covid-19 di negara mereka ataupun sejurus tiba di pintu masuk negara ini dan menjalani proses kuarantin wajib 14 hari di kediaman serta memuat turun aplikasi MySejahtera.
“Mesyuarat juga mengambil maklum rakyat Malaysia yang berhasrat ke luar negara menyambung pengajian. Mereka tidak perlu mengemukakan permohonan kepada JIM sebaliknya menunjukkan bukti pendaftaran pengajian di kaunter Imigresen di lapangan terbang.
“Bagi yang mempunyai keperluan untuk ke luar negara atas urusan kecemasan ataupun perniagaan juga perlu mengemukakan bukti dokumentasi kepada pegawai Imigresen di lapangan terbang,” katanya. – MalaysiaGazette