Alatan yang digunakan untuk membaca meter elektrik di Kedai Tenaga TNB Cheras, Selangor. foto arkib MalaysiaGazette

PUTRAJAYA – Tenaga Nasional Bhd (TNB) bersetuju untuk menghentikan aktiviti pemotongan bekalan elektrik sehingga 30 Sept ini bagi pengguna dengan bil elektrik tertunggak, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Justeru, beliau berkata pengguna tidak perlu risau kerana bekalan elektrik tidak akan dipotong sekiranya mereka menghadapi kesukaran kewangan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lepas susulan penularan COVID-19.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung isu bil elektrik di sini, hari ini. Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST) Razib Dawood.

Ditanya sebab pembaca meter TNB tidak bertugas semasa PKP yang menyebabkan berlaku peningkatan bacaan, Shamsul berkata TNB tidak membenarkan mereka keluar membuat bacaan meter selepas mendapat pandangan pelbagai pihak terutama Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Keputusan itu atas nasihat MKN mengambil kira kepentingan pelbagai pihak,” katanya.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata, TNB mengikut saranan kerajaan untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19.

Beliau berkata, TNB hanya fokus kepada perkhidmatan penting yang ada bagi memastikan bekalan elektrik tidak terganggu semasa PKP kerana pengguna sentiasa berada di rumah.

TNB mempunyai sistem untuk mengira bacaan apabila bil terlambat dan tatacara pengiraan adalah teratur yang juga diluluskan ST.

Para pembaca meter TNB telah memulakan tugas sejak 15 Mei selepas status perkembangan COVID-19 di negara berubah dengan kes harian berkurangan.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast