Tun Dr. Mahathir Mohamad

TIDAK salah untuk berbeza pandangan, sebegitu tidak salah untuk bersifat kritikal dalam melontarkan idea termasuk menyampaikan pendapat mahupun membuat kritikan atau teguran. Selama mana segenap hal itu dipercayai bertujuan pada jalan atau matlamat yang baik ditambah andai teguran adalah bukan pada hasrat untuk mencemuh. Bukankah kita turut diajar atas ungkapan “Berani Kerana Benar?”

Kali ini saya ingin menyatakan perbezaan pandangan saya dengan apa yang diperkatakan oleh ayahanda Tun Dr. Mahathir Mohamad, walaupun saya malah mungkin ramai pihak bersetuju dengan pendapat Tun mengenai kepentingan Sains dan Matematik, namun ia bukanlah jalan untuk Tun memperlekehkan bidang Sains Sosial seperti Sejarah dan Geografi, apatah lagi cabang Seni, Budaya dan Sastera sebegitu hanya lebih mengutamakan bidang Sains dan Matematik.

Saya tidak mahu menyentuh dengan lanjut mengenai inti utama penulisan Tun yang mengharapkan PPSMI diteruskan kerana dari dahulu saya konsisten bertentangan dengan tekad pengajaran serta pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, malah secara jelas hal ini (pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Kebangsaan atau Bahasa Ibunda) disokong hasil kajian empirikal yang melalui kaedah ‘SAINTIFIK’ dari UNESCO.

Yang nyata adalah, penguasaan Bahasa Inggeris merupakan proses penguasaan ‘linguistik’, jika mahukan anak Malaysia menguasai Bahasa Inggeris, perkara yang perlu diperhalusi adalah silibus dan pedagogi proses pengajian dan pembelajaran (PnP) subjek Bahasa Inggeris itu sendiri, seperti artikel/kenyataan yang pernah saya tulis (disiarkan); https://malaysiagazette.com/2020/02/01/jika-mahu-kuasai-bi-baiki-silibus-bukan-melalui-ppsmi/

Berbalik kepada isu pengajian Sains Sosial, sebegitu bidang Seni, Sastera dan Budaya, adalah salah jika mengatakan bidang ini adalah bidang yang bersifat pegun. Hakikatnya dalam pengajian Geografi dan Sejarah, penemuan-penemuan serta pembuktian baharu dalam Sejarah sebagai contoh mampu mempengaruhi atau memberi kesan pemikiran yang membentuk teori-teori Saintifik.

Ya dalam banyak ketika, penemuan sejarah memerlukan pelbagai cabang disiplin ilmu untuk saling membantu, antara utamanya adalah Sains Semulajadi, namun pemahaman disiplin ilmu Sejarah dalam penelitian dan penilaian sesuatu sumber atau bukti sejarah itu prosesnya memerlukan pemikiran yang dalam serta pengamatan yang tajam melalui pengetahuan ilmu yang luas bagi membuat tafsiran bukti atau sumber.

Bukan dengan sewenangnya sesuatu sejarah itu boleh diangkat atau dibuktikan malah diceritakan. Terdapat proses empiris serta saintifik didalamnya yang ternyata tidak pegun dan perlu dibuktikan. Malah proses persejarahan terdapat penyebaban (sababiyah) untuk menilai sebab musabab dan perhubungan antara sebab dan akibat, Tun sendiri sering mengungkap kata-kata dari George Santayana yang berbunyi, “sesiapa yang melupakan sejarah akan didera dengan mengulangi kesalahan mereka berkali-kali”, maka mengapa perlu belajar Sejarah?

Sejarah dan disiplin bidang-bidang Sains Sosial yang lain (Sains Politik, Antropologi, Ekonomi, Geografi, Falsafah) tidak dilupakan cabang ilmu kemanusiaan seperti Sastera, Seni dan Budaya hakikatnya adalah asas dalam pembentukan sesebuah ketamadunan. Ianya adalah cabang ilmu yang mampu membentuk jiwa manusia sebegitu merupakan ‘ilmu fikir’ yang membantu dalam proses atau cara berfikir individu yang akan mempengaruhi masyarakat juga membangunkan negara. Malah bidang ini hakikatnya yang menjadi tunjang kepada pemikiran saintifik dalam cabang Sains Semulajadi.

Jika disoroti sejarah, cabang ilmu fikir (Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan) inilah yang membantu membina persoalan, menjadi pokok pemikiran sekaligus mambantu perkembangan ilmu Sains, Matematik dan kemajuan Teknologi dan kesan dari kesedaran cabang ilmu Kemasyarakatan dan Kemanusiaan inilah yang telah turut membantu mekarnya keilmuan Sains dan Teknologi, dari zaman gelap ke zaman pencerahan sehingga ‘Renaissance’. Sebegitu dalam dunia Islam. Jelas di sini hakikatnya, Sains Sosial (Kemasyarakatan) dan Kemanusiaan serta Sains Semulajadi sebenarnya saling bertaut!

Ilmu adalah ilmu! Dalam satu sesi usrah bersama pemikir dari Institut Masa, saya pernah memberikan kupasan bahawa proses mencapai puncak sebuah Peradaban, perlu melalui beberapa tingkat, namun tunjang kepada segalanya adalah ilmu (tidak spesifik kepada Sains dan Matematik namun ditekankan kepentingan sejarah etc.)

Sesebuah peradaban semestinya terdapat pengaruh sains dan teknologi di dalamnya, namun bagi memacu setiap proses itu acuannya yang mampu membina ketahanan adalah ilmu yang mampu membina semangat untuk maju ke hadapan, jati diri (nasionalisme dan patriotisme) dan ilmu itu tidak lain antaranya adalah ilmu Sejarah selain bidang Kemasyarakatan dan Kemanusiaan lain seperti cabang falsafah, etika dll.

Soekarno pernah mengatakan, “Bangsa yang lemah, adalah bangsa yang tidak mengena sejarahnya dan sejarah para pejuangnya”…

Kerana dari ilmu sedemikian (Sains Kemanusiaan dan Kemasyarakatan) mampu mencipta sebuah Budaya yang membentuk Kebudayaan, dari Kebudayaan akan terbentuknya Ketamadunan, dari Ketamadunan maka terbinanya satu Peradaban! Tun Mahathir seringkali mengungkap soal ‘malu’, hal malu ini tiada dalam Sains mahupun Matematik, tapi pemahaman malu terdapat melalui pembelajaran sejarah dalam hal pengadilan moral, perihal malu ada dalam pembelajaran etika, pembelajaran malu ada dalam pembentukan pemikiran falsafah, dan malu sepertimana semangat orang Jepun adalah kerana mereka faham tentang ilmu, tentang sejarah, tentang jati diri dan falsafah.

Bukan kerana sains dan matematik buat mereka maju! Tapi nilai keilmuan kesan faham sejarah, faham kebudayaan, faham jati diri, faham falsafah mereka yang akhirnya membentuk acuan mereka sendiri sehingga mengecap kemajuan serba serbi termasuk Sains dan Matematik kerana mereka punyai citra, cita dan semangat atas nilai yang dibentuk dan semua proses ini (corak dan cara fikir) adalah kesan pemahaman atas keilmuan cabang Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan.

Al-Quran diturunkan dalam bentuk penelitian ke atas sejarah untuk manusia mengambil iktibar demi maju kehadapan, ianya turut bersulam dengan ilmu-ilmu terkait bidang Sains. Dari ini juga jelas bahawa yang utamanya adalah ilmu sebegitu ilmu sejarah mendapat tempat yang khusus dari Kalamullah kerana penting sebagai elemen pembentukan diri.

Maka bagaimana Malaysia mampu maju? Bagaimana orang Melayu boleh maju jika hanya yang ditekankan tentang ilmu untuk menjadi mesin atau robot? Mengikut perintah tanpa berfikir, apatah lagi sehingga hilang nilai dari mengenali baik atau buruk, ini adalah feudalisme dalam keilmuan! Hakikatnya bidang ilmu fikir ini (Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan) tidak diambil berat oleh Tun sejak pandangan Tun sekadar dihalakan kepada Sains dan Matematik demi kemajuan industri.

Jika di Eropah atau di Barat (negara maju), orang yang bijak pandai atau ahli fikir banyak mengikuti bidang Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan sebagai cabang membina negara sebegitu membentuk masyarakat dengan membantu dari segi dasar serta polisi yang turut membawa kepada perkembangan Sains, Matematik dan Teknologi, tapi di Malaysia bidang ini disenda temeh sampai mak bapak pun takut nak hantar anak-anak apatah lagi hujungnya hanya difikirkan soal kerja yang kerajaan pun tak pernah ada jiwa nak bangunkan (wujudkan)

Sains, Matematik dan Teknologi adalah ibarat keretapi namun keretapi tidak mampu berjalan jika tiada landasan selaku haluan. Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan adalah landasan itu!- MalaysiaGazette

Ashraf Mustaqim Badrul Munir

MOHD ASHRAF MUSTAQIM
Pencinta Astronomi, bekas pelajar sains tamat pengajian universiti Arts&Design, lanjutkan pengajian Sains Politik.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast