Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain (tiga kanan) beramah mesra bersama Ahli Parlimen Rompin, Datuk Hasan Arifin (dua kanan) dan penduduk semasa sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Kiosk Chini Dara, Pekan, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 21 JUN 2020.

CHINI – Jika sebelum ini kempen pilihan raya riuh dengan aktiviti calon berjumpa dan bersalam-salaman dengan pengundi namun situasi berbeza pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini.

Memasuki hari kedua kempen, calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain berkata, norma baharu akibat Covid-19 membuatkan kempennya berbeza dengan jadual kempen pada PRK lain.

“(Ini adalah) norma baharu, situasi PRK Chini perhatian kerana berada dalam PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan). Ia pastinya lebih baik kerana sebelum ini SOP (Standard Prosedur Operasi)  ketat.

“Kita akan pastikan peringkat jentera patuhi SOP yang dikeluarkan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) dan MKN (Majlis Keselamatan Negeri).

“Daripadasegi kita kawalan dari suhu badan, pakai sanitizer dan penutup mulut dan hidung,” katanya ketika membuat walkabout di Bandar Chini hari ini.

Untuk rekod, hari ini hari kedua kempen PRK DUN Chini setelah proses penamaan calon selesai semalam.

Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain (tengah) beramah mesra bersama penduduk semasa sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Kiosk Chini Dara, Pekan, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 21 JUN 2020.

Menurut beliau, pihaknya kini masih mencari jalan terbaik dalam memastikan segala aktiviti kempen menepati Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan Suruhannya Pilihan Raya (SPR).

“Kita di peringat parti masih bincangkan jalan terbaik apabila SPR melonggarkan sikit SOP kempen. Parti akan akan fikirkan dan bincangkan bagaimana jentera program boleh digerakkan sehingga 3 Julai depan,” katanya lagi.

Semalam, Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizah Harun berkata, tiga aktiviti kempen PRK antaranya ziarah rumah ke rumah, walkabout dan ceramah dibenarkan untuk dibuat oleh mana-mana calon PRK Chini bagaimanapun perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh SPR.

Berdasarkan SOP itu setiap calon hanya boleh membawa dua penyokong dalam setiap kempen serta walkabout yang akan dihadiri mereka.

Malah siri ceramah yang akan diberikan mana-mana calon hanya dibenarkan maksimum 250 orang sahaja mengikut keluasan kawasan ceramah.

PRK DUN Chini menyaksikan Mohd Sharim yang mewakili BN bakal berentap dengan dua lagi calon Bebas, iaitu bekas Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bahagian Pekan, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin dan aktivis, Mohd Shukri Mohd Ramli. – MalaysiaGazette