Meor Mohd Hilmi Meor Zainun

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mendengar pandangan mantan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri SA Vigneswaran agar menarik balik pindaan kontroversi pada tahun 1993 berkaitan kuasa Raja-Raja Melayu.

Pergerakan Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berpandangan, kuasa Raja-Raja Melayu perlu dikembalikan khususnya dalam kelulusan terhadap mewujudkan atau meminda pindaan Rang Undang-Undang (RUU) negara.

Tegas Ketuanya, Meor Mohd Hilmi Meor Zainun, pada tahun 1993, RUU Akta Perlembagaan (Pindaan) 1993 telah diluluskan mengikut peruntukan perlembagaan dengan lebih daripada dua pertiga majoriti ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Berikutan pindaan itu, katanya, kuasa Raja-Raja Melayu telah dikurangkan dan ia mesti dihenti serta dikembalikan semula.

“Kuasa Raja-Raja Melayu perlu dikembalikan, yang mana Yang di-Pertuan Agong tidak lagi mempunyai kuasa mutlak dalam meluluskan RUU.

“Jika Yang di-Pertuan Agong tidak meluluskan atau memperkenankan satu-satu rang undang-undang, ia akan menjadi sah selepas genap 30 hari.

“Namun, kewujudan Mahkamah Khas kekal relevan bagi membicarakan salah laku hal berkaitan dengan kerabat Diraja. Ini bagi memastikan keadilan dan kedaulatan undang-undang terpelihara,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Media hari ini melaporkan, SA Vigneswaran sebagai berkata, menyeru kerajaan menarik balik pindaan kontroversial 1993 yang disifatkan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Kata beliau, pindaan tersebut dibuat tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja dan telah mengurangkan kuasa Raja Melayu, maka kedaulatan Institusi Diraja harus dikembalikan.

“Adalah hasrat saya sebagai Yang Dipertua yang bersara untuk menyeru kepada kerajaan agar menarik balik pindaan kontroversial 1993 yang hangat diperdebatkan sehingga kini,” katanya.

Menurut Meor Mohd Hilmi, Wira Perkasa menyokong saranan itu dan menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) menarik balik pindaan yang telah dibuat oleh mantan Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ujar beliau, kerajaan perlu ingat, dalam pelbagai perkara yang mustahak, kuasa Raja-Raja Melayu amat diperlukan bagi menjamin kestabilan politik dan kemakmuran masyarakat berbilang kaum di negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast