Kedai jahit dikendalikan warga asing Bangladesh disita DBKL di Setiawangsa semalam.

KUALA LUMPUR – Dua warga Bangladesh didapati menjalankan perniagaan kedai jahit di Jalan 27/56, Setiawangsa tanpa kebenaran di ibu negara.

Premis HQ Indah Enterprise diserbu Dewan Dandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam hasil pemantauan penguatkuasa agensi itu.

Menurut kenyataan DBKL, seorang daripada pekerja sempat melarikan diri manakala seortang pekerja yang ada di premis itu gagal mengemukakan maklumat perniagaan.

“Premis tersebut telah diambil tindakan ditutup serta merta (sealed) dan sitaan di bawah seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, turut mengambil tindakan ke atas penjaja air balang warga Indonesia di hadapan flat Sri Penara, Jalan Permaisuri 1, Cheras dan penjaja nasi campur di hadapan flat yang sama.

Barangan mereka disita dan dikeluarkan notis kepada kedua-dua pengendali tersebut kerana berniaga tanpa kenbenaran, katanya.

Menurut kenyataan itu, DBKL turut mengambil tindakan menyita Kedai Gunting Rambut Faruk Global yang terletak di Jalan Midah Timur, Taman Midah, Cheras yang dimiliki warga asing dan diarah ditutup serta merta di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 – Sek. 191(1)(v).

Orang ramai diminta melaporkan sebarang premis perniagaan yang dikendalikan oleh warga asing di kawasan mereka kepada Pusat Panggilan Setempat DBKL di talian 1 800 88 3255 atau terus ke Pejabat Cawangan DBKL berhampiran kawasan perumahan mereka. – MalaysiaGazette