Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh bercakap dengan media selepas keluar dari Bukit Aman untuk memberikan keterangan untuk membantu siasatan polis berhubung kenyataannya dalam Facebook bersama peguam beliau Gobind Singh Deo dan Syahredzan Johan di Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 23 JUN 2020.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh hari ini hadir memberi keterangan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah di Bukit Aman.

Beliau ditemani peguamnya Gobind Singh Deo dan Syahredzan Johan sekitar jam 9.50 pagi sebelum memasuki ibu pejabat Polis Diraja Malaysia itu sekitar jam 10 pagi.

Katanya, dalam proses rakaman keterangan hampir satu jam itu, beliau telah memaklumkan kepada polis kenyataan yang digunakan polis dalam siasatan adalah satu kenyataan palsu yang tidak pernah dikeluarkannya.

Beliau juga menyerahkan telefon bimbit serta kata laluan dan akaun rasmi media sosialnya untuk disiasat polis secara terperinci.

“Saya telah memaklumkan kenyataan siasatan itu satu kenyataan palsu saya tak pernah cakap dan saya pernah nyatakan dalam Facebook dan Twitter rasmi saya pada 11 Mac itu adalah kenyataan palsu yang dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Saya telah berikan kerjasama kepada polis tadi dan juga telah berikan username dan password media sosial saya iaitu Facebook dan Twitter kepada polis untuk disiasat lanjut.

“Saya memberi kerjasama 100 peratus tadi semasa polis rakam keterangan saya dan terima kasih kerana mereka sangat profesional dan berdisiplin sepanjang proses merakam keterangan dari saya,” katanya kepada pemberita di pekarangan Bukit Aman hari ini.

Beliau keluar dari Bukit Aman sekitar 12 tengahari ditemani Gobind Singh dan juga Syahredzan Johan.

Ditanya sama ada beliau dikehendaki hadir semula untuk menyambung rakaman keterangan, beliau bagaimanapun berkata, polis akan menghubunginya sekiranya ada apa-apa lagi yang diperlukan.

Dalam pada itu Gobind Singh yang juga Ahli Parlimen Puchong berkata, Hannah selesai memberi keterangan kepada pegawai polis yang dirakam seorang pegawai D5 selama satu jam.

“Mereka mengambil telefon bimbit Hannah Yeoh juga untuk tujuan membantu siasatan dan kita tidak ada masalah untuk menyerahkan telefon bimbit untuk membantu polis membolehkan siasatan rapi dilaksanakan untuk menentukan kebenaran sebelah kami.

“Kai juga dimaklumkan satu laporan diterima polis dan kes ini yang disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kita berterima kasih kepada polis sebab kita lihat kenyataan dirakamkan dengan cara sangat profesional dan polis telah pun menyatakan sekiranya perlu lagi bantuan kami mereka akan hubungi kita,” katanya lagi.

Tambah beliau setakat ini beliau dan Hannah sedia memberikan kerjasama penuh dalam siasatan polis keraja berpendirian tidak melakukan apa-apa kesalahan dan ia perlu disiasat seadil-adilnya oleh polis.

‘Kita berharap polis dapat menyelesaikan siasatan dalam masa secepat yang boleh,” ujarnya.

Pada 17 Jun lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dalam kenyataan berkata, akaun Facebook bernama Hannah Yeoh disiasat berikutan kenyataan yang dimuat naik dalam media sosial mempunyai kecenderungan menghasut dan menggangggu gugat ketenteraman awam.

Katanya kenyataan yang dimuat naik Hannah pada 11 Mac lalu adalah berbunyi:”Memandangkan Timbalan Menteri KPWKM adalah dari Pas, maka perkahwinan dengan kanak-kanak perempuan bawah umur (bagi menghalalkan seks dengan kanak-kanak) akan berleluasa selepas ini. Ini adalah penyakit orang Islam di negara ini tidak bertamadun”.-MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Hari tu bising sgt gobind ni. Kan dah kata untuk membntu siasatan pastu melalak tak tentu pasal.

  2. Pandailah loyar buruk anak karpal singh nak menyelamatkan awak. Kalau kenyataan palsu bukan dari awak mengapa tak padam cepat2 dan minta maaf. Ini dibiarkan tertular. Sekarang jawablah. Apa2 pun hannah anti Islam.

Comments are closed.