Calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin (dua kiri) bertanyakan sesuatu dengan penduduk semasa sesi walkabout pada Program Ziarah Rumah Ke Rumah sempena Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Felda Chini 1, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 24 JUN 2020.

CHINI – Mendengar rungutan pesakit buah pinggang menghadapi kesukaran untuk menjalani proses pembersihan darah kerana tiada mesin dialisis, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin berjanji akan memperuntukkan sebuah mesin itu kepada pengundi Chini.

Calon bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini itu berkata, rungutan demi rungutan disampaikan kepadanya tentang masalah pesakit buah pinggang yang terpaksa ke Pekan mahupun Muadzam bagi menjalani proses dialisis.

Menurut Tengku Zainul Hisham, mesin-mesin itu hanya terdapat di dua bandar itu dan perjalanan untuk ke sana akan mengambil masa yang lama.

“Permohonan ini sampai kepada saya semasa pemilihan parti pada Februari lalu.

“Semasa saya datang sini saya telah dipinta oleh ahli Bersatu ketika itu beritahu masalah ramai yang berpenyakit buah pinggang memerlukan mesin dialisis. Mereka hendak mesin dialisis diadakan di Bandar Chini.

“Ini kerana buat masa sekarang mereka terpaksa pergi ke Pekan dan Muadzam untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam program ziarah dalam siri kempen PRK hari ini.

Ujarnya perkara yang sama pernah direncanakan beliau pada Mac lalu namun disebabkan penularan Covid-19 niat itu terpaksa dihentikan sementara waktu.

Calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin (kanan) beramah mesra bersama penduduk semasa sesi walkabout pada Program Ziarah Rumah Ke Rumah sempena Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Felda Chini 1, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 24 JUN 2020.

Menurut Tengku Zainul Hisham, sebuah mesin dialisis itu berharga dalam lingkungan RM50,000 sebuah dan segala pembiayaan akan di tanggung beliau.

“Pada saya walaupun sekarang saya bertanding dalam PRK Chini sebagai calon bebas, kalau saya menang atau kalah sekalipun mesin itu tetap akan diadakan di bandar Chini.

“Itu janji saya kepada masyarakat. Saya sudah nak buat janji, sebab saya takut tidak dapat tunaikan, jadi bila saya janji saya akan tunaikan juga tidak kira menang atau kalah di DUN Chini,” katanya lagi.

Difahamkan, setiap pesakit dialisis di Chini akan pusat dialisis Kuantan untuk proses dialisis pada setiap Sabtu. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Syukurlah kalau dah sanggup mewakafkan mesin cuci darah tu. Tak payah tunggu selepas keputusan prk nanti, teruskan saja niat suci itu hari ini.

Comments are closed.