Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Arahan Perintahan Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan adalah tindakan drastik bagi mengekang penularan  Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, PKP memastikan usaha mengehadkan pergerakan orang ramai serta menutup pintu masuk antarabangsa untuk mengelakkan jangkitan dibawa masuk ke dalam negara ini.

Ia dalam masa yang sama dapat memberi ruang untuk meningkatkan kapasiti kesihatan awam, makmal, klinik kesihatan dan hospital dan seterusnya meratakan lengkung graf kes wabak itu.

Jelas beliau pada 18 Mac lalu iaitu tarikh PKP dilaksanakan, jumlah kapasiti ujian makmal harian bagi Ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) adalah hanya 6,210 ujian.

“Selain itu, jumlah katil di hospital dan fasiliti bersesuaian, katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan alat pernafasan khusus untuk COVID-19 adalah masing-masing 4,433 buah katil, 273 buah katil dan 626 buah mesin.

“Dalam tempoh PKP, KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) juga telah meningkatkan pendekatan agresif di lapangan untuk terus mengesan, menguji, mengasingkan, merawat kes-kes Covid-19 di hospital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini merupakan hari ke-100 sejak PKP dikuatkuasakan selepas Perdana Menteri telah mengumumkan pelaksanaannya mengikut peruntukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan PenyakitBerjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Polis 1967 (Akta 344).

Ketika itu jumlah kes positif Covid-19 telah mencecah 790 kes dengan dua kematian pertama dicatatkan pada 17 Mac lalu.

PKP kemudiannya telah berlanjut sebanyak empat fasa, diikuti dengan PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan.

Mengulas lanjut, Noor Hisham menambah, dalam tempoh PKP, KKM juga telah meningkatkan pendekatan agresif di lapangan untuk terus mengesan, menguji, mengasingkan, merawat kes-kes Covid-19 di hospital.

Menurutnya, kemuncak jumlah kes aktif bagi Covid-19 semasa fasa-fasa PKP adalah pada 5 April lalu di mana terdapat 2,596 kes aktif dengan jumlah keseluruhan kematian adalah 1.67 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Pada penghujung fasa keempat PKP pada 12 Mei lalu, jumlah kapasiti ujian makmal harian bagi PCR meningkat kepada 27,233 ujian (kenaikan empat kali ganda) manakala jumlah katil di hospital, ICU dan alat pernafasan khusus untuk Covid-19 adalah masingmasing 8,794 buah katil (dua kali ganda), 438 katil (1.6 kali ganda) dan 1,097 buah mesin (1.75 kali ganda).

“Jumlah kes aktif adalah  2,596 kes dan peratus kematian adalah 1.62 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Noor Hisham memberitahu, pada hari ini sejak PKP dikuatkuasakan, negara telah mempunyai kebolehan menjalankan 36,812 ujian makmal RTPCR (enam kali ganda berbanding sebelum PKP).

Tambah beliau, KKM juga masih mempunyai 6,397 jumlah katil untuk COVID-19 walaupun terdapat 442 katil ICU dikhususkan untuk pesakit Covid-19, kini ianya telah mula digunakan untuk pesakit-pesakit kes lain.

Ujar beliau, begitu juga dengan mesin-mesin ventilator memandangkan hanya terdapat dua kes Covid-9 yang menggunakan ventilator.

“Jumlah kes aktif kini telah menurun kepada hanya 208 kes dan peratus kematian turut menurun kepada 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes dan menandakan Malaysia berada dalam fasa pemulihan.

“Kejayaan meratakan lengkung graf kes Covid-19 dan juga mengurangkan penularan kes itu di dalam komuniti adalah hasil tindakan bersama semua pihak termasuk komuniti dan
masyarakat.

“Kini, bagi memastikan negara pulih sepenuhnya dan berjaya menjalani fasa PKP Pemulihan ini, masyarakat perlu memainkan peranan yang lebih besar iaitu dengan mematuhi sepenuhnya segala nasihat yang diberi dan mematuhi Prosedur
Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

“Malaysia harus bersedia ke arah kehidupan normal dengan normal yang baharu,” katanya. – MalaysiaGazette