Gambar hiasan.
KUALA LUMPUR – Pandemik Covid-19 terbukti memberi pengajaran penting bagi kalangan komuniti perniagaan membabitkan peranan platform digital bagi meneruskan kelangsungan perniagaan serta mampu kekal relevan.

Atas alasan itu, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menggesa agar lebih banyak kerjasama awam-swasta diwujudkan bagi memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ditawarkan oleh ekonomi digital tersebut.

“Kita menyeru pihak swasta dan kerajaan, syarikat kecil mahu pun korporat dan agensi untuk sama-sama mengusahakan perkara ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Surina Shukri dalam program Ruang Bicara Bernama TV bertajuk “PENJANA: Ekonomi Digital” yang disiarkan semalam.

Beliau berkata, ramai usahawan terbukti meraih manfaat susulan pelaksanaan usaha digital ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), termasuk seorang penjual kuih-muih yang mencatat keuntungan berlipat ganda apabila melakukan jualan secara dalam talian.

Malah, jualan produk pengguna menerusi platform e-dagang turut melonjak sebanyak 40 peratus ketika tempoh rakyat Malaysia mematuhi PKP tersebut.

Berikutan itu, katanya, ekonomi digital Malaysia disasarkan dapat menyumbang sekitar 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini.

Menurut Surina, ekonomi digital Malaysia telah mencatat pertumbuhan pesat sejak dua tahun lepas dan menyumbang sejumlah RM270 bilion atau 18.5 peratus kepada KDNK pada 2018.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa syarikat khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk mengutamakan pemikiran jangka panjang demi mengekalkan perniagaan serta kekal relevan terutamanya ketika ekonomi global semakin menghampiri kemelesetan pada masa ini.

“Sudah tiba masanya untuk kita memanfaatkan platform digital ini,” katanya.

Beliau berkata, ramai pemilik perniagaan yang terpaksa meneruskan usaha secara dalam talian ketika PKP berikutan tidak dapat meneruskan aktiviti perniagaan seperti lazimnya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bernilai RM35 bilion yang menumpukan tiga komponen bagi memperkasakan rakyat, melonjakkan perniagaan serta merangsang ekonomi.

MDEC telah diberi tanggung jawab untuk menerajui usaha penyertaan usahawan mikro dan PKS dalam e-dagang menerusi geran padanan bernilai RM140 juta selain peruntukan RM35 juta bagi memacu industri kandungan kreatif digital.

Selain itu, sejumlah RM25 juta juga diperuntukkan bagi program Global Online Workforce (GLOW) bagi membimbing rakyat Malaysia yang berminat bekerja secara bebas atau ‘freelancer’ dalam ekonomi digital global. – MalaysiaGazette