Ahmad Ibrahim

KUALA LUMPUR – Demi memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang penggambaran, Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) membuat ‘lawatan mengejut’ di lokasi-lokasi tertentu.

Presiden FDAM Ahmad Ibrahim berkata, inisiatif tersebut digerakkan pasukannya bagi mengelakkan pelanggaran SOP yang telah ditetapkan kerajaan selepas membenarkan semula penggambaran dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Senarai produksi drama yang sedang melakukan penggambaran sudah ada di tangan kami. Cuma, konsep lawatan mengejut ini tidak akan diberitahu awal.

“Tiba di lokasi tertentu barulah kami akan maklumkan kepada syarikat produksi yang ada berdekatan.

“Kami mahu melihat dengan mata sendiri bagaimana persediaan mereka dalam mematuhi SOP,” katanya dipetik BH Online sebagai berkata.

Terbaru, beliau dan pasukannya membuat serbuan di lokasi penggambaran sekitar Selangor.

Hasil tinjauan, Ahmad Ibrahim berpuas hati dengan pematuhan pasukan produksi.

“Kami bangga dengan kerjasama diberikan syarikat produksi yang sedang giat melunaskan kerja penggambaran.

“Mereka ikut syarat dalam SOP. Itu yang sepatutnya diamalkan. Andai kata ada syarikat produksi sebaliknya, kami akan memberikan nasihat. Kerajaan memberi kelonggaran untuk bekerja, jadi patuhilah sebaik mungkin,” katanya lagi.

Ujarnya sebagai langkah awal FDAM akan memberikan nasihat sekiranya ada produksi yang tidak mematuhi SOP sebelum mengambil tindakan tegas sekiranya ada yang bersikap degil.

“FDAM akan minta menghentikan penggambaran dan akan merujuk perkara ini kepada Persatuan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Mereka akan dikenakan tindakan sewajarnya.

“Kami akan lebih kerap membuat lawatan mengejut ini. Perancangan sudah dibuat dalam tempoh dua minggu, dimana kami akan kerap turun padang ke lokasi penggambaran,” kata belau lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast