Linda Rafar
Linda Rafar. foto IQBAL BASRI, 01 JUN 2017

KUALA LUMPUR – Pelakon dan penyanyi, Linda Rafar memfailkan saman dan tuntutan rugi sebanyak RM1 juta kepada pengamal perubatan yang didakwanya telah membuat hantaran berunsur fitnah terhadapnya di laman media sosial.

Pelakon tersebut menerusi jurucakapnya, Saiful Ridzuan berkata, tindakan mahkamah itu dibuat selepas tuntutan permohonan maaf daripada Linda sejak tahun lalu tidak diendahkan oleh doktor yang dikenali sebagai Rusyainie Ramli.

Anggota kumpulan Elite itu mendakwa Rusyainie menerbitkan hantaran palsu dan fitnah yang banyak di media sosial mengenai penyanyi itu dengan menyatakan Linda telah menjual produk sampah.

“Selebriti itu kini berusaha untuk membersihkan nama beliau melalui proses pengadilan di mahkamah. Salinan saman tersebut telah dimeterai di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada minggu ini,” katanya menerusi kenyataan.

Linda Rafar atau Azlinda Rafar, 42 memfailkan saman tersebut melalui firma guaman Hafarizam, Wan dan Aisha Mubarak.

Dalam pada itu peguam kepada Linda Rafar iaitu Wan Azmir Wan Majid menerusi kenyataan yang sama berkata, Dr. Rusyainie Ramli menyebarkan pernyataan palsunya dalam keadaan sedar dan dengan sengaja mahu mencemarkan imej, reputasi dan jenama peribadi pelakon itu. – MalaysiaGazette