KUALA LUMPUR – Walaupun kerajaan memberi kelonggaran dan kebenaran kepada masyarakat dan kilang beroperasi, namun kebebasan itu ada hadnya.
Rakyat dan semua premis serta agensi terlibat masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan sosial, kebersihan tangan dan pemakaian penutup mulut.
Menurut Naib Canselor yang juga Pakar Sosial Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran, pematuhan itu penting kerana dapat menurunkan kes baharu jangkitan Covid-19 di negara ini.
Kata beliau, tanpa kawalan ditetapkan, dikhuatiri kes baharu akan melonjak naik seperti mana berlaku di Singapura dan Perancis.
“Malaysia bagaimanapun, terus cemerlang dalam menangani Covid-19 dengan masyarakat diwajibkan mematuhi segala SOP walaupun ketika ini negara melalui fasa pemulihan (PKPP).
“Oleh itu, masyarakat dinasihatkan tidak begitu ghairah meraikan kebebasan ini tanpa batasan kerana pasti akan mengundang kesulitan pada kemudian hari,” katanya dalam kenyataan kepada media.
Menurut Prof. Dr. Mohammad Shatar, sejak pandemik Covid-19 melanda negara ini, pelbagai inisiatif berjaya dilaksanakan kerajaan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan masyarakat terjamin.
Katanya, setelah hampir tiga bulan berjuang melalui beberapa fasa PKP, kes baharu yang melibatkan Covid-19 berjaya diturunkan.
“Trend penurunan kes baharu ini telah memberikan senyuman kegembiraan bukan sahaja kepada masyarakat umum, tetapi kepada barisan hadapan dan kerajaan.
“Melalui PKPP ini juga kerajaan banyak memberi kelonggaran seperti membenarkan rumah ibadat dan pusat membeli-belah beroperasi.
“Walaupun kita mengharapkan Malaysia bebas secara total, tetapi dalam tempoh PKPP ini kita tidak boleh bebas melakukan apa yang diinginkan,” katanya. – MalaysiaGazette