Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka terus diniagakan dalam sentimen berhati-hati minggu depan berikutan perkembangan luaran yang lemah, termasuk penularan semula COVID-19 di Amerika Syarikat (AS), selain prospek ekonomi yang rendah di peringkat tempatan dan global.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) telah diperbetulkan dengan agak ketara berdasarkan ia merosot di bawah purata pergerakan 200 hari.

“Mungkin pasaran cuba melihat sama ada peningkatan jumlah jangkitan baharu baru-baru ini di AS boleh menjejaskan pembukaan semula ekonomi negara-negara yang terjejas. Oleh itu, FBM KLCI dijangka diniagakan dalam jajaran kecil kira-kira 1,480 hingga 1,490 mata,” katanya kepada Bernama.

Katanya data adalah menggalakkan seperti Indeks Pengurus Pembelian (IPP) Komposit AS yang meningkat kepada 46.8 mata pada Jun daripada 37 mata pada Mei.

Begitu juga di UK dan Zon Euro, katanya IPP Komposit, masing-masing naik pada Jun kepada 47.6 mata (Mei: 30.0) dan 47.5 mata (Mei: 31.9).

“Tuntutan Pengangguran Awal AS dapat memberi gambaran mengenai keadaan ekonomi. Data terkini menunjukkan tuntutan pengangguran lebih tinggi daripada anggaran konsensus bagi minggu berakhir 19 Jun,” katanya.

Bursa Malaysia mencatatkan dagangan turun naik sepanjang minggu ini, sejajar dengan sentimen dalam pasaran serantau, berikutan pelabur bimbang mengenai unjuran terkini Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengenai pertumbuhan ekonomi global.

Pada minggu ini, dana itu menyemak semula penguncupan pertumbuhan global bagi 2020 kepada 4.9 peratus daripada kemerosotan 3.0 peratus yang diunjurkan pada April, mengingatkan bahawa kewangan awam akan susut dengan ketara dalam usaha kerajaan mengurangkan kemerosotan daripada krisis COVID-19.

“Pandemik COVID-19 memberi lebih banyak impak negatif kepada aktiviti pada separuh pertama 2020 daripada jangkaan, dan pemulihan dijangka secara berperingkat berbanding unjuran sebelum ini,” menurut IMF dalam kemas kini Prospek Ekonomi Dunia.

Di peringkat tempatan, pasaran dipengaruhi oleh laporan Pemantau Ekonomi Malaysia terkini Bank Dunia yang dikeluarkan pada Khamis, yang menurunkan unjuran prospek ekonomi Malaysia bagi 2020 kepada -3.1 peratus daripada unjuran sebanyak -0.1 peratus sebelum ini pada April.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI susut 19.12 mata untuk ditutup kepada 1,488.14.

Indeks FBM Emas susut 142.44 mata kepada 10,458.16, Indeks FBMT 100 merosot 133.67 mata kepada 10,315.81, manakala Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 164.77 mata kepada 11,837.31.

FBM 70 berkurangan 70.37 mata kepada 12,786.15, bagaimanapun Indeks FBM ACE naik 19.54 mata kepada 6,072.40.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.89 mata kepada 134.30, Indeks Perladangan jatuh 137.96 mata kepada 6,659.59, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 155.50 mata kepada 12,822.75.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 29.69 bilion unit bernilai RM13.57 bilion daripada 36.03 bilion unit bernilai RM22.07 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 15.93 bilion saham daripada 20.16 bilion saham sebelum ini.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 1.83 bilion unit bernilai RM386.93 juta daripada 2.87 bilion unit bernilai RM2 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 11.93 bilion saham bernilai RM2.36 bilion daripada 12.81 bilion saham bernilai RM2.98 bilion sebelum ini. – MalaysiaGazette