Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjadualkan semula takwim peperiksaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia, Sijil Vokasional Malaysia dan beberapa ujian yang lain.

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini dipinda ke 6 Januari hingga 9 Februari tahun depan berbanding sebelum ini dijadualkan bermula 16 November hingga 7 Disember ini.

Kementerian dalam satu kenyataan hari ini berkata, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) yang sepatutnya bermula 23 hingga 30 Jun ini bagi ujian bertulis dan ujian lisan dipinda ke tarikh baharu iaitu 17 Ogos hingga 30 September.

Sesi pertama peperiksaan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) yang dijadualkan pada 13 hingga 24 Mei ini bagi semester tiga dan semester satu akan dipinda kepada 3 hingga 14 Ogos ini dan 28 hingga 9 Oktober ini.

Manakala tarikh peperiksaan bagi sesi kedua untuk semester keempat dan semester kedua SVM juga dipinda iaitu masing-masing dari 21 Oktober hingga 8 November dan 14 hingga 30 Oktober ini kepada 18 hingga 29 Januari 2021 dan 17 hingga 28 Mei 2021.

Peperiksaan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu SVM dipinda dari 19 hingga 30 Oktober ini kepada 16 November hingga 6 Januari tahun depan bagi ujian lisan.

Ujian  bertulis  pula yang dijadual pada 16 November dipinda ke 6 Januari 2021.

Mata pelajaran Sejarah untuk SVM dipinda dari 25 November ini ke 7 Januari tahun depan.

Menurut kenyataan itu, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pula dipinda kepada 17 hingga 25 Februari 2021.

Bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kohort 2020, peperiksaan bagi semester dua yang dijadual pada 18 hingga 24 November  diawalkan kepada 12 hingga 18 Ogos ini dan bagi semester tiga pula, peperiksaan yang sepatutnya bermula pada 3 hingga 10 November ini dipinda kepada 1 hingga 9 Mac 2021.

Peperiksaan semester satu STPM 2021 bagi kohort 2021 yang dijadualkan berlangsung dari 25 Nov hingga 1 Dis ini pula dipinda ke 22 hingga 25 Feb 2021.

Penjadualan penuh peperiksaan tersebut adalah seperti berikut:

KPM berkata, oleh kerana peperiksaan SPM tahun 2020 dijadualkan bermula pada minggu pertama tahun 2021, kementerian telah mengambil kira keperluan untuk mengatur semula pelbagai aspek logistik bagi tujuan peperiksaan tersebut.

Ini termasuklah memperincikan tarikh permulaan sesi persekolahan bagi tahun 2021 yang akan dimaklumkan kelak.

Menurutnya, penyusunan semula permulaan sesi ini penting bagi memastikan agar sesi persekolahan pada tahun hadapan berjalan lancar.

Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) (kecuali bagi komponen Hifz Al-Quran – Tasmi’ dan Tahriri) pada tahun 2020 adalah dibatalkan selaras dengan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kanan Pendidikan pada 15 April lalu. – MalaysiaGazette