Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Sebanyak tiga kes positif Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam sehingga pukul 12 tengahari dan 16 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 182 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Berikutan itu, jumlah kumulatif kes Covid-19 adalah sebanyak 8,637 kes dan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,334 kes atau 96.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada tiga kes baharu yang dilaporkan, satu kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan warganegara Malaysia.

“Manakala kedua-dua kes penularan di dalam negara adalah di kalangan warganegara Malaysia iaitu satu kes di Selangor melibatkan kes saringan pra prosedur bagi rawatan penyakit barah darah dan satu lagi kes di Sabah iaitu kes saringan tempat kerja (iaitu sebuah pasar) di Sandakan,” katanya dalam sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Menurut Noor Hisham, sehingga kini, sebanyak empat kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

“Ia sekaligus menyaksikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 121 kes (1.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast