Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menyampaikan pakaian perlindungan peribadi (PPE) kepada Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Bandar Dara Chini, Dr Isyafik Qamal (tiga kiri) diiringi calon Barisan Nasional, Mohd Sharim Md Zain (empat kanan) semasa membuat lawatan kerja sempena Pilihan Raya Kecil N.23 Chini di Klinik Kesihatan Bandar Dara Chini, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 29 JUN 2020.

CHINI – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada segi teknikal berhubung Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk proses undi awal esok dan hari pengundian pada 4 Julai depan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, segala kelengkapan seperti Pakaian Pelindung Diri (PPE) akan dibekalkan dan amalan penjarakan sosial akan dilaksanakan.

“Dalam PRK kali ini SOP itu penting. Kita dalam PKPP jadi kita masih lagi terikat dengan garis panduan bagi memastikan pengundi ada gejala, mungkin ada kes Covid-19 yang belum dikesan dan juga mereka yang di hospital sekarang.

“Jadi kakitangan KKM telah pun berbincang dengan SPR dan kita sedia bantu dari segi teknikal,” katanya sempena lawatan kerja ke Klinik Kesihatan Chini, hari ini.

PRK Chini merupakan pilihan raya pertama yang diadakan ekoran pendemik Covid-19 yang melanda negara sejak penghujung tahun lalu.

Justeru itu, SOP tentang garis panduan pilihan raya telah dilaksanakan dalam libat urus dengan KKM, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ia meliputi tujuh proses pilihan raya iaitu hari penamaan calon, percetakan kertas undi, pengeposan kertas undi pos, hari mengundi awal, tempoh berkempen, hari mengundi dan ketika keputusan diumumkan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba bercakap kepada media semasa membuat lawatan kerja sempena Pilihan Raya Kecil N.23 Chini di Klinik Kesihatan Bandar Dara Chini, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 29 JUN 2020.

Ditanya mengenai samada KKM akan meletakkan pegawai kesihatan pada proses undi awal esok, Adham berkata, pegawai kementerian akan ditempatkan di pusat pengundian Balai Polis Chini namun dalam jumlah yang minimal.

“KKM sudah lihat beberapa tempat untuk undi dan undi awal esok. Kita tidak perlu kakitangan yang ramai kerana SOP yang telah ditetapkan telah disiapkan,” katanya.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung.

Pada PRU14, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon Pas, Mohd Fadhil Noor yang memperoleh 5,405 undi manakala calon PKR, Mohamad Razali Ithnain mendapat 1,065 undi.

Abu Bakar yang ketika itu memperoleh 10,027 undi merupakan penyandang kerusi DUN tersebut sejak PRU11 pada 2004. – MalaysiaGazette