KUALA LUMPUR- Sentimen perniagaan dalam syarikat Malaysia bertambah baik pada suku ketiga 2020 meskipun masih berada dalam zon kemuncupan.
Indeks Optimisme Perniagaan (BOI) yang dikeluarkan oleh Dun & Bradstreet hari ini melaporkan, sentimen perniagaan meningkat kepada -13.33 mata peratusan berbanding -21.86 mata peratus pada suku kedua 2020.
Bagi perbandingan tahunan, BOI jatuh -13.33 mata peratusan pada suku ketiga 2020 berbanding +7.22 mata peratusan tempoh sama tahun lalu.
Terdapat enam petunjuk perniagaan yang dikaji oleh BOI iaitu volum jualan, keuntungan bersih, harga jualan, paras inventori, pekerja dan tempahan baharu.
Kajian itu juga menunjukkan jumlah jualan naik sedikit kepada -19.2 mata peratus pada suku ketiga 2020 berbanding -27.84 mata peratus suku sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Dun & Bradstreet (Malaysia) Sdn. Bhd., Audrey Chia menjangkakan sentimen akan bertambah baik dalam tempoh beberapa bulan akan datang dengan pembukaan semula aktiviti ekonomi dan pergerakan rentas negeri secara berperingkat.
“Pakej rangsangan fiskal dan monetari oleh kerajaan akan membantu merangsang pertumbuhan ekonomi yang mana pemulihan dijangka bermula pada akhir separuh kedua tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.-MalaysiaGazette