Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Situasi Covid-19 di Malaysia semakin baik apabila hanya merekodkan dua kes positif pada hari ini manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan hanya 164.

Kesemua kes aktif telah diasingkan dan mendapat rawatan di hospital

Setakat jam 12 tengahari tadi, terdapat dua kes positif baharu melibatkan warganegara Malaysia yang mana satu merupakan kes import dan satu lagi adalah penularan tempatan.

Kes penularan dalam negara diketahui hasil saringan pra-rujukan di Hospital Kota Belud.

Tiada kes positif Covid-19 dicatatkan dalam kalangan warganegara asing serta tiada kematian direkodkan hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Tambahnya, seramai 20 pesakit telah sembuh dan dibenarkan keluar pada hari ini.

“Sehingga kini, sebanyak empat kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, satu kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dengan itu, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia adalah 8,639 dengan kebolehjangkitan sebanyak 164 kes.

Jumlah terkumpul korban Covid-19 di negara ini kekal sebanyak 121 kes atau 1.4 peratus daripada jumlah kes. – MalaysiaGazette