Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya tidak alpa dengan trend penurunan kes Covid-19 di negara ini.

Sebaliknya menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, orang ramai perlu lebih berwaspada serta mematuhi SOP dan mengamalkan langkah pencegahan supaya rantaian wabak dapat diputuskan.

Ini kerana kes-kes Covid-19 di peringkat global sedang meningkat dan dijangkakan melarat.

“Seperti yang dinyatakan oleh Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom dalam sebuah taklimat secara maya, pandemik COVID-19 di dunia masih belum berakhir.

“Malah, secara global, kes-kes pandemik COVID-19 ini sebenarnya semakin meningkat. Beliau juga memberi amaran bahawa situasi pandemik COVID-19 di seluruh dunia dijangkakan akan semakin melarat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegas Dr. Noor Hisham, pematuhan kepada SOP ini adalah perkara paling utama dalam memastikan kes Covid-19 di Malaysia terus berkurangan.

“Memandangkan lebih banyak sub- sektor akan dibuka pada 1 Julai 2020, kerjasama orang ramai adalah amat diperlukan oleh kerajaan untuk sama-sama kita memutuskan rantaian penularan Covid-19 di Malaysia,” katanya lagi.

Situasi Covid-19 di Malaysia semakin baik apabila setakat jam 12 tengahari tadi hanya dua kes positif baharu yang direkodkan manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan hanya 164.

Tiada kematian dilaporkan pada hari ini manakala jumlah pesakit yang telah pulih dan dibenarkan keluar adalah seramai 20 orang. – MalaysiaGazette