Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan mengulangi nasihat supaya para peminjam yang memerlukan kemudahan penyusunan dan penjadualan semula supaya segera berbincang dengan institusi kewangan masing-masing secepat mungkin.

Ini kerana tempoh moratorium akan berakhir pada 30 September ini.

”Bagi mereka yang mungkin memerlukan kemudahan penyusunan dan penjadualan semula selepas 30 September, peminjam dinasihatkan untuk berbincang dengan institusi kewangan masing-masing,” kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Menurutnya, nilai moratorium bagi bayaran balik pinjaman institusi kewangan dianggarkan berjumlah RM47.5 bilion sejak berkuatkuasa pada 1 April hingga 19 Jun 2020.

Dari angka ini, sebanyak RM16.6 bilion adalah jumlah yang dimanfaatkan oleh sektor perniagaan manakala jumlah yang dimanfaatkan oleh rakyat adalah RM30.9 bilion.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul menyarankan orang ramai agar merancang kewangan mereka dan berunding dengan profesional berlesen untuk mengetahui mengenai tindakan yang dapat diambil untuk memperbaiki aliran tunai dan menangani kekangan kewangan akibat kesan Covid-19.

Katanya, Bank Negara Malaysia telah menubuhkan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kewangan (AKPK) yang boleh membantu seseorang di dalam pendidikan kewangan, kaunseling kewangan dan program pengurusan kredit.

Perkhidmatan ini adalah percuma dan Rakyat boleh menghubungi AKPK (https://www.akpk.org.my/my) melalui nombor telefon 03-2616 7766. AKPK mempunyai 11 cawangan di seluruh Malaysia (https://www.akpk.org.my/my/hubungi-kami#akpk).

Beliau memaklumkan kerajaan sedar ada sindiket tidak bertanggungjawab yang memperdaya masyarakat mengenai akses kepada pembiayaan di bawah langkah-langkah PRIHATIN dan PENJANA.

Institusi kewangan tidak melantik atau melibatkan pihak ketiga atau ejen untuk proses mendapatkan pinjaman atau pengeluaran simpanan kerana terdapat pilihan yang jelas secara langsung dengan agensi penyelia yang diberi kuasa.

Malah media telah melaporkan bahawa penipu kerap memperdayakan mangsa agar menyerahkan kad pengenalan dan butiran akaun bank mereka dengan alasan untuk menolong mereka memproses pinjaman atau mengeluarkan simpanan dari akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan sebagainya.

Ujar beliau, rakyat boleh mendapatkan maklumat mengenai taktik-taktik penipuan dan cara-cara melindungi diri daripada laman Facebook Bank Negara Malaysia bertajuk “Amaran Scam” (https://www.facebook.com/amaranpenipuan). Bagi mereka yang merasakan telah menjadi mangsa penipuan, sila hubungi BNMTELELINK di talian 1300-88-5465.

”Rakyat perlu berhati-hati dan berwaspada terhadap penipuan yang melibatkan pakej rangsangan ekonomi dan langkah-langkah bantuan yang dilabel nama PRIHATIN dan PENJANA.

”Rakyat disarankan untuk menghubungi terus Kementerian Kewangan atau agensi-agensi yang berkenaan untuk mendapatkan penjelasan mengenai cara-cara untuk mengakses langkahlangkah PRIHATIN dan PENJANA yang diumumkan,” katanya. – MalaysiaGazette