Haniza Mohd Talha

KUALA LUMPUR –  Haniza Mohamed Talha berkata, keputusan penggantungannya sebagai ahli PKR telah lama dibuat dan hanya semalam Lembaga Disiplin parti memuktamadkan pelucutan keahliannya.

BAgaimanapun, bekas Ketua Wanita Keadilan pusat itu berkata, keputusan tersebut tidak akan melunturkan semangatnya untuk terus menyumbang tenaga agar rakyat, khususnya yang kurang bernasib baik mendapat pembelaan sewajarnya.

“Keputusan penggantungan keahlian saya dibuat pada 13 April lalu. Namun, sepanjang tempoh itu, saya meneruskan fokus kerja bagi membantu rakyat seperti biasa.

“Dengan penularan wabak Covid-19, ia memberi cabaran tambahan untuk semua pihak, termasuk diri saya dalam melaksanakan tugas.

“Jadi, walau apa berlaku, tohmahan dilemparkan, matlamat saya hanya untuk melihat semua rakyat hidup dengan baik, terutama generasi anak-anak akan datang. Politik bagi saya adalah suatu platform, bukannya matlamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Haniza yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya bersama empat pemimpin PKR dilucut keanggotaan parti berkuatkuasa serta merta oleh Lembaga Disiplin parti semalam.

Dua ADUN yang turut dilucutkan keahlian ialah Dr. Afif Bahardin (Seberang Jaya) dan Zulkifli Ibrahim (DUN Sg. Acheh), manakala dua lagi, Ketua Wanita Keadilan Sabah, Rahimah Majid dan Ketua Wanita Keadilan Pulau Pinang, Nur Zarina Zakaria.

Haniza mengucapkan terima kasih kepada ahli yang sentiasa menyokongnya, memberi tunjuk ajar serta nasihat kepadanya sepanjang berkhidmat dalam parti.

“Kepada yang tidak menyukai saya, saya doakan agar anda semua dapat bersama memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat, lebih baik daripada sumbangan kecil saya ini,” katanya.

Beliau terlibat dalam politik sekitar 2008 dan bertanding kali pertama pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) bagi kerusi DUN Taman Medan.

Jelas beliau, PKR adalah satu-satunya parti politik yang disertainya dan turut bersama menggerakkan parti, khususnya bagi memperkuatkan sayap wanita.

“Dari hujung Perlis hingga ke hujung Sabah. Menyantuni ahli wanita agar cekal bekerja dan tidak berputus asa.

“Kini, saya meneruskan khidmat di DUN Lembah Jaya dan tidak kurang cabarannya. Kehidupan di kota cabarannya ada dan besar bagi kebanyakan rakyat. Tidak kurang berbanding dengan cabaran rakyat yang tinggal di kampung.

“Tugas saya mempengerusikan Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar sentiasa berusaha agar rakyat yang tinggal di Selangor mendapat kehidupan berkualiti,” ujarnya.

Beliau sedar akan kekurangan dalam memberikan khidmat, namun tidak sekali-kali akan meminggirkan keluh-kesah rakyat, termasuk rintihan pemilik rumah yang terbengkalai, sama ada yang baru mahupun yang lama.

Untuk rekod, Haniz digantung keahlian kerana menghadiri pertemuan dengan bekas pemimpin parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin pada Februari lalu. – MalaysiaGazette

Haniza Talha, Dr. Afif dipecat keahlian PKR

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast