Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (tengah) beramah mesra bersama penduduk semasa sarapan bersama masyarakat setempat dan atlet negara sempena Pilihan Raya Kecil N.23 Chini di sekitar Paloh Hinai, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 02 JULAI 2020

CHINI – Keputusan Barisan Nasional (BN) meletakkan calon anak muda bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang dijadualkan 4 Julai ini adalah sangat tepat.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yakin calon BN itu akan mendapat sokongan kukuh berdasarkan maklum balas pengundi.

“Sebagai Menteri Belia dan Sukan, saya bangga apabila calon dalam kalangan pertubuhan belia yang juga Presiden Belia Felda ditampilkan.

“Melihat kepada reaksi positif rakyat tempatan, mudah-mudahan ia menjadi petanda awal.

”Reaksi yang diberikan itu memberi isyarat Chini akan tetap dipertahankan sebagai kubu kuat BN dan mudah-mudahan diberikan kemenangan yang cukup meyakinkan,” katanya kepada wartawan selepas mengadakan lawatan sempena siri kempen PRK DUN Chini di Paloh Hinai, hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bercakap kepada media semasa sarapan bersama masyarakat setempat dan atlet negara sempena Pilihan Raya Kecil N.23 Chini di sekitar Paloh Hinai, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 02 JULAI 2020

Dalam pada itu, pihak Kementerian Belia dan Sukan telah meluluskan dua projek gelanggang silat dan futsal bagi kemudahan riadah anak muda di Chini.

Ia selaras dengan dasar kerajaan yang mahukan golongan belia lebih aktif dan mengutamakan sukan.

“Saya sudah lihat kepada fasiliti sukan terutama gelanggang futsal. Hari ini sahaja saya terima tiga permohonan untuk bina gelanggang futsal, saya tidak mahu gunakan pentas ini sebagai gula-gula politik tapi hakikatnya ini adalah kesempatan yang saya ada untuk turun ke Chini.

“Saya dapati kawasan ini jauh dari bandar, memerlukan prasarana sukan seperti gelanggang futsal, silat kerana ramai daripada atlet yang terlibat dengan silat sehingga menjadi pemenang pingat emas dunia datang daripada Chini,” katanya lagi yang memberitahu anak-anak muda mahu lebih banyak kemudahan sukan diwujudkan di sekitar Chini.

Untuk rekod, segala fasaliti sukan hanya terdapat di Felda Chini Timur.

PRK DUN Chini yang berlangsung pada 4 Julai ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Sharim, 41, dan dua calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

DUN Chini merupakan satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan mempunyai 20,990 pengundi berdaftar, terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal polis. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. BN pegng puluhan tahun..masalah x settle jugak… Time ngundi tabur itu ini.. Rakyat jd mngsa.. Ini lh masanya rakyat yg cerdik akal buat undi protes… Undi lh Tengku.. Calon bebas.. berintegriti

Comments are closed.