Mohammed Hussein.

KUALA LUMPUR – Datuk Mohammed Hussein dilantik sebagai Pengerusi Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) yang bahru, menggantikan Datuk Agil Natt yang telah meletak jawatan pada hujung bulan Jun lalu.

Pelantikan beliau berkuatkuasa 1 Julai lalu.

Pada masa ini, Mohammed adalah Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Gamuda Berhad, Hap Seng Plantations Holdings Berhad dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad.

Beliau juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat (Corporate Debt Restructuring Committee) yang ditaja oleh Bank Negara Malaysia untuk memudahkan resolusi dan penyusunan semula hutang korporat.

Mohammed Hussein pernah berkhidmat dengan Kumpulan Malayan Banking Berhad (Maybank) selama 31 tahun dan menjawat pelbagai jawatan pengurusan kanan termasuk Ketua Perbankan Korporat, Ketua Perbankan Komersial, Ketua Operasi Malaysia, Pengarah Urusan Aseambankers Malaysia Berhad (kini Maybank Investment Bank Berhad) and Pengarah Eksekutif (Kumpulan Perniagaan). Beliau juga pernah bertugas sebagai Timbalan Presiden/Pegarah Eksekutif/Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Maybank sebelum bersara pada 30 Januari 2008. – MalaysiaGazette