Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Sebanyak lima kes positif Covid-19 dilaporkan setakat pukul 12 tengahari dan sembilan kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Berikutan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 menurut kepada 81 kes sementara jumlah kumulatif kes positif virus itu adalah 8,648 kes.

Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnyadan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,446 kes  atau 97.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, lima kes baharu yang dilaporkan membabitkan tiga kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara membabitkan warganegara.

“Tiga kes import berkenaan adalah melibatkan warganegara Malaysia yang mana masing-masing satu kes dari Qatar, Turki dan Oman.

“Kedua-dua kes penularan di dalam negara adalah di kalangan warganegara Malaysia, iaitu dua kes saringan pra rujukan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu tetapi tiada kes dalam kalangan bukan warganegara dilaporkan pada hari ini,” katanya dalam sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Menurut Noor Hisham, sehingga kini, terdapat dua kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kedua-dua kes tersebut memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 121 kes (1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” kata beliau. – MalaysiaGazette