Saifuddin Abdullah bersama Mohd. Bakke Salleh ketika mengadakan lawatan di MMU.

CYBERJAYA – Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah melantik Universiti Multimedia (MMU) bagi membuat penyelidikan mengenai kes buli siber di negara ini.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, penyelidikan itu akan dibuat dalam tempoh enam bulan sebelum keputusan dibuat sama ada untuk mewujudkan undang-undang antibuli siber.

Jelas beliau, sekiranya ia satu keperluan, selepas ini kerajaan akan menentukan jenis kesalahan dan hukuman di dalam akta tersebut.

“Kerajaan telah bersetuju bekerja dengan MMU menerusi beberapa projek apabila melantik membuat penyelidikan undang-undang anti buli siber kerana berpendapat ia sesuatu yang mustahak kerana muktahir ini terdapat peningkatan kes hingha ada anak muda yang bunuh diri.

“Kita ada undang-undang tetapi tiada yang khusus mengenai siber buli dan berpendapat perlu ada akta yang khusus seperti di negara ASEAN lain antaranya Singapura dan Filipina,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang selepas membuat lawatan rasmi di MMU di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi TM, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh dan Pemangku Presiden MMU, Prof Dr Ho Chin Kuan.

Saifuddin menambah, penyelidikan itu akan melibatkan siri langkah kerja dengan melihat apa yang berlaku di Singapura dan Filipina.

Beliau menjelaskan ia juga akan melibatkan konsultansi dengan Pejabat Peguam Negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, CyberSecurity Malaysia dan Majlis Peguam.

“Sekiranya perlu, Rang Undang-Undang Anti Buli Siber ini tidak akan dibawa awal daripada tempoh enam bulan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin turut mengulas ancaman yang dihadapi syarikat media yang berdepan kekurangan pendapatan hasil iklan yang dimonopoli oleh Google dan Facebook ketika ini.

Jelas beliau, pihaknya kini sedang membuat kajian kerana isu itu telah ditimbulkan sebelum ini. – MalaysiaGazette