Brenton Tarrant. foto agensi

WELLINGTON – Hukuman ke atas seorang lelaki Australia yang dituduh membunuh 51 jemaah Islam dalam serangan di dua buah masjid di New Zealand akan bermula pada 24 Ogos, kata mahkamah.

Tarikh itu diputuskan selepas mahkamah menangguhkannya susulan pandemik Covid-19.

Brenton Tarrant mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan terhadap beliau di Mahkamah Tinggi Christchurch awal tahun ini.

Suspek telah disabitkan pada bulan Mac atas 51 tuduhan pembunuhan, 40 percubaan pembunuhan dan satu pertuduhan keganasan.

Hakim Cameron Mander memaklumkan perbicaraan akan berlangsung selama tiga hari tetapi ia boleh dilanjutkan jika lebih masa diperlukan.

Serangan itu berlaku pada 15 Mac tahun lalu ketika jemaah Islam sedang menunaikan solat Jumaat.

Suspek telah menyiarkan serangan itu secara langsung di Facebook. – MalaysiaGazette