Temubual Malaysia Gazette bersama Presiden Metamorphosis Medical Products, Razalif Mohamad Zain di Hotel MITC, Melaka. foto FAREEZ FADZIL, 01 JULAI 2020.

MELAKA –  Metamorphosis Skills Sdn. Bhd. (Metamorphosis Skills) bakal muncul sebagai syarikat milik Bumiputera pertama yang terlibat dalam perniagaan pembuatan sarung tangan getah asli dan kondom dengan pengambilalihan kilang milik SSN Medical Products Sdn. Bhd. di Balakong, Selangor.

Presidennya, Razalif Mohamad Zain berkata, selepas persetujuan antara kedua-dua pihak selesai, kilang itu akan dijenamakan semula menjadi Metamorphosis Medical Products (MMP) dengan jenama rangkaian produk dikenali sebagai Meta.

Jelas beliau, pengambilalihan itu sejajar dengan aspirasi syarikat untuk menjadikan konglomerat penjagaan kesihatan dalam lima hingga 10 tahun akan datang.

“Kami ingin melihat syarikat mempelbagaikan perniagaannya daripada menjalankan syarikat produksi hingga menghasilkan produk perubatan.

“Tambahan pula, kami melihat kesepakatan antara dua pihak ini sebagai peluang yang baik bagi kami untuk memenuhi permintaan sarung tangan getah yang semakin meningkat di seluruh dunia di tengah pandemik Covid-19,” katanya.

Razalif bakal muncul sebagai usahawa Melayu pertama memiliki kilang sarung tangan getah dan kondom.

Beliau berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette di Ayer Keroh selepas selesai proses akhir pengambilalihan di Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka di sini baru-baru ini.

Metamorphosis Skills akan menandatangani Perjanjian Jual Beli dengan syarikat induk SSN Medical, Ketua Menteri Melaka (Incorperation) pada minggu depan walaupun sudah mengambilalih secara tidak rasmi sejak bulan lalu.

Pada masa ini, syarikat itu terlibat dalam pelbagai aktiviti perniagaan iaitu menjalankan syarikat produksi, pengurusan acara dan perniagaan makanan sejuk beku.

Razalif menambah, kilang itu secara rasmi akan dilancarkan pada awal Ogos ini dengan menyasarkan kapasiti pengeluaran sarung tangan getah sebanyak sejuta unit sehari.

Jelas beliau, sasaran itu mampu dicapai kerana syarikat telah menambah 30 lagi mesin baharu berbanding 10 mesin yang sedia ada.

Temubual Malaysia Gazette bersama Presiden Metamorphosis Medical Products, Razalif Mohamad Zain di Hotel MITC, Melaka. foto FAREEZ FADZIL, 01 JULAI 2020.

Menurut Razalif, pihaknya perlu bertindak agresif untuk mencapai sasaran itu kerana industri sarung tangan getah ketika ini menawarkan pasaran yang amat besar.

“Sama ada dalam atau luar negara, semua kilang dalam industri ini tidak cukup penawaran kerana permintaan yang terlalu tinggi untuk dieksport,” katanya.

Ditanya bagaimana syarikat mahu bersaing dalam industri yang dikuasai bukan Bumiputera, Razalif menjelaskan, pihaknya sudah lama melakukan kajian sebagai persediaan berdepan persaingan yang sihat.

“Saya faham bukan mudah hendak bersaing dan sudah tentu ketika ini kami ketinggalan jauh di belakang.

“Namun sekurang-sekurangnya, kami menyasarkan kedudukan tiga terbaik dalam industri ini. Insya-Allah kami yakin boleh mengharungi apa juga cabaran dan sasaran itu mampu dicapai pada tahun depan,” katanya yang akan membuka kilang kedua di Kota Kemuning, Shah Alam dalam masa terdekat ini. – MalaysiaGazette

Kilang milik SSN Medical Products Sdn. Bhd. terletak di Balakong, Selangor.

2 Komen

  1. Asyik 2 jual nama bumiputra / bangsa buat apa?Buat perniagaan yg boleh membawa keuntungan.
    Nanti harap bekas kesian dari kerajaan? Buang duit pembayar cukai.

Comments are closed.