Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu berjaya menahan empat bot nelayan Vietnam yang disyaki menyamar sebagai bot nelayan tempatan, Jumaat lepas.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata keempat-empat bot nelayan ditahan di kawasan perairan yang terletak 118 hingga 123 batu nautika dari Kuala Terengganu antara 3.30 petang dan 4.30 petang oleh Kapal Maritim (KM) Langkawi dan KM Gemia yang menjalankan Op Iman di perairan Terengganu.

“Kesemua bot tersebut menggunakan nombor pendaftaran tempatan bagi tujuan mengelirukan pihak penguat kuasa. Kita percaya wujudnya sindiket memajak nombor pendaftaran bot kepada nelayan Vietnam yang dilakukan nelayan tempatan.

“Hasil risikan kita mendapati lesen yang dipajak kepada nelayan Vietnam itu bernilai kira-kira RM200,000 bagi tempoh setahun, ini adalah cara mudah untuk nelayan tempatan mengaut keuntungan tanpa melakukan aktiviti menangkap ikan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Negeri Terengganu hari ini.

Siasatan lanjut mendapati hanya empat daripada 47 kru kapal termasuk tekong yang mempunyai pasport Vietnam.

Muhammad Suffi berkata turut dirampas ialah lima tan ikan baja, 4.5 tan ikan campur, 16,500 liter diesel, bot terbabit dan peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai hampir RM5 juta.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara serta Akta Imigresen 1959/63 kerana tekong dan kebanyakan kru kapal itu yang berusia lingkungan 17 hingga 57 tahun tidak memiliki sebarang dokumen sah.

“APMM akan menyiasat dan berusaha membongkar taktik penyamaran yang menggunakan nombor pendaftaran bot nelayan tempatan ini. Sekiranya siasatan mendapati terdapat penglibatan nelayan tempatan atau pemilik bot bernombor pendaftaran tersebut, pihak berkuasa akan mendakwa mereka di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata APMM tidak akan berkompromi dengan nelayan asing yang menceroboh perairan negara dan mengaut hasil laut tanpa kebenaran.

“Rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa untuk mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim,” katanya. – BERNAMA