Taj Mahal

AGRA – India menarik semula kebenaran pembukaan Taj Mahal selepas bimbang berlaku risiko penularan wabak Covid-19 di Agra daripada para pengunjung.

Pihak berkuasa tempatan mengeluarkan nasihat baharu pada lewat hari Ahad yang memerintahkan lanjutan sekatan di monumen tersebut dan sekitar Agra.

Namun ia tidak menyatakan tempoh penutupan monumen tersebut sejak ia ditutup pada bulan Mac lalu.

“Demi kepentingan awam, pembukaan monumen-monumen di Agra tidak akan dibuat sekarang,” kata pihak berkuasa daerah.

Agra, menjadi salah satu kluster virus pertama Covid-19 di India dan masih kekal sebagai bandar yang paling teruk terjejas di Uttar Pradesh.

Uttar Pradesh adalah negeri yang paling ramai penduduknya.

Jangkitan koronavirus di India meningkat pada kadar terpantas dalam tiga bulan.

Pada hari Ahad, Kementerian Kesihatan melaporkan lonjakan sebanyak 24,850 kes baharu Covid-19 dalam tempoh sehari dan lebih daripada 600 kematian.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes koronavirus baharu di India sebanyak 673,165 kes, menghampiri Rusia, negara ketiga yang paling terjejas di seluruh dunia. – MalaysiaGazette