KUALA LUMPUR – Mulai 1 Julai lalu, pemilik-pemilik estet dan kilang buah kelapa sawit yang masih belum memulakan proses pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) akan mula diambil tindakan kompaun dan disusuli dengan tindakan untuk penggantungan atau penamatan lesen bermula 1 Januari 2021.

Kerajaan telah menetapkan tarikh pelaksanaan mandatori pensijilan MSPO berkuatkuasa pada 1 Januari 2020.

Sejajar dengan pelaksanaan secara mandatori, semua pihak dalam industri sawit termasuk pekebun kecil perlu melaksanakan pensijilan MSPO di premis masing-masing.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, pihaknya telah mengeluarkan Notis Pemberitahuan Pelesenan Pensijilan MSPO secara mandatori kepada pemegang lesen kategori Kilang Buah Kelapa Sawit, Estet dan Pekebun Kecil pada 1 Julai 2019.

Malah, notis makluman penguatkuasaan Pensijilan MSPO kepada pemegang lesen kategori Kilang Buah Kelapa Sawit, Estet dan Pekebun Kecil juga telah dikeluarkan oleh MPOB pada 27 Disember 2019.

Katanya, di bawah peraturan 15(1)(a), Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005, MPOB boleh mengambil tindakan perundangan terhadap pihak industri termasuk terhadap pekebun kecil yang masih belum memulakan proses pensijilan MSPO atau dipersijilkan dengan MSPO.

Sehingga 31 Disember 2019, sebanyak 1,753 estet atau 71.1% merangkumi keluasan 2,975,637 hektar telah memperoleh sijil MSPO manakala  sebanyak 340 buah kilang buah kelapa sawit atau 75.2% telah mempunyai sijil MSPO.

Bagaimanapun, tambah Ahmad Parveez, sebanyak 1,034 estet dan 100 buah kilang sawit masih belum mengemukakan permohonan pensijilan MSPO.

MPOB telah mengeluarkan Surat Amaran kepada 100 buah kilang buah kelapa sawit berkenaan pada 28 Januari 2020, juga kepada pemilik-pemilik estet yang masih belum memulakan proses pensijilan MSPO pada 12 Februari 2020.

Susulan daripada pengeluaran Surat Amaran tersebut, sehingga 30 Jun 2020 pencapaian pelaksanaan pensijilan MSPO bagi kategori estet ialah sebanyak 3,040 estet atau 96.04% merangkumi keluasan 4,064,895 hektar telah
memperolehi sijil MSPO manakala 400 buah kilang sawit atau 88.50% telah mempunyai sijil MSPO.

Jelas beliau, tindakan penguatkuasaan MPOB meliputi mengeluarkan surat amaran, tindakan kompaun dan akhirnya penggantungan atau membatalkan lesen.

Menurut beliau, sehingga 31 Mei 2020, pencapaian pensijilan MSPO bagi kategori pekebun kecil persendirian ialah 62,009 orang dengan keluasan 243,666 hektar (24.82%) dan pekebun kecil tersusun seramai 231,576 orang dengan keluasan 670,010 hektar (99.07%).

Berdasarkan pencapaian pelaksanaan MSPO dalam kalangan pekebun kecil, terutama kategori pekebun kecil persendirian yang masih rendah iaitu 24.82%, MPOB telah melanjutkan tempoh penguatkuasaan mandatori pelaksanaan MSPO pekebun kecil selama enam bulan sehingga 30 Jun 2020.

”Tarikh penguatkuasaan mandatori pensijilan MSPO pekebun kecil akan bermula pada 1 Julai 2020.

”Surat amaran akan dikeluarkan mulai 1 Januari 2021 diikuti tindakan kompaun mulai 1 Julai 2021. Mulai 1 Januari 2022, pekebun kecil yang masih belum memulakan proses pensijilan MSPO akan mula diambil tindakan untuk penggantungan atau penamatan lesen mereka,” tegasnya.

Kata beliau, lanjutan tempoh pelaksanaan mandatori pensijilan MSPO ini kepada pekebun kecil persendirian adalah berdasarkan kepada beberapa pertimbangan iaitu komitmen pekebun kecil persendirian dalam pelaksanaan pensijilan MSPO di bawah Kelompok Sawit Mampan (SPOC) MPOB masih rendah.

Selain itu, isu-isu berkaitan milikan tanah bagi pekebun kecil persendirian seperti pertukaran syarat nyata tanah selain kelapa sawit, isu pertukaran milikan tanah dan lain-lain isu berkaitan tanah mengambil masa yang panjang untuk diselesaikan bagi memastikan ia mengikut keperluan pensijilan MSPO serta syarat-syarat dikenakan oleh kerajaan negeri.

Kesukaran menghubungi sebahagian pekebun kecil persendirian yang tidak mengusahakan kebun sendiri secara sepenuh masa berikutan nisbah seliaan kawasan bagi seorang Pegawai Tunas MPOB dengan pekebun kecil persendiran yang tinggi iaitu melebihi 1,000 orang. – MalaysiaGazette