Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ramli Din bercakap pada sidang media mengenai kejayaan melumpuhkan sindiket pengedaran dadah ke Sarawak di Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 07 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) perlu menambah lebih ramai lagi pegawai dan anggotanya dalam usaha memerangi aktiviti pengedaran dadah di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ramli Din berkata, ketika ini hanya 5,000 perjawatan di JSJN dan jumlah itu dilihat tidak mencukupi berbanding beban kerja dan tanggungjawab yang hendak dipikul.

“Kita hanya ada lebih 5,000 perjawatan berbanding Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Cawangan Khas Bukit Aman masing-masing mempunyai 14,000 dan 9,000 perjawatan.

“Modus operandi pengedaran dadah kini sudah berubah, sekarang ada yang guna dron untuk hantar dadah. Ada kemungkinan mereka gunakan burung merpati untuk hantar bahan terlarang itu pada masa hadapan.

“Kita perlukan lebih ramai tenaga kerja. Perkara ini sudah diusulkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Ramli memberitahu, penggunaan dadah dalam parti liar kini didapati semakin berleluasa di seluruh negara dengan merangkumi kawasan pinggiran bandar.

Katanya, hasil siasatan mendapati, antara jenis dadah menjadi pilihan kumpulan berkaitan ialah ganja dan ketamin.

“Parti liar kini berleluasa di bandar dan pinggiran bandar di seluruh negara.

Pelbagai jenis dadah sebanyak 182kg dianggarkan RM10 juta yang telah dirampas dalam operasi Ops Nutcracker pada sidang media mengenai kejayaan melumpuhkan sindiket pengedaran dadah ke Sarawak di Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 07 JULAI 2020.

“Kita akan teruskan penyiasatan mengikut undang-undang seperti Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Dalam hal ini, kita sedang berbincang dengan Jabatan Peguam Negara untuk mengkaji jika ada keperluan mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap mereka,” ujar beliau. – MalaysiaGazette