Nemanja Matic(kanan) dan Ole Gunnar Solksjaer.

LONDON – Pemain tengah, Nemanja Matic bersetuju untuk menandatangani kontrak baharu selama tiga tahun di Manchester United yang akan mengekalkannya di kelab itu sehingga Jun 2023.

Karier pemain antarabangsa Serbia itu di Old Trafford sebelum ini seolah di penghujung apabila dia secara terbuka mahu meninggalkan kelab pada Januari lalu selepas semakin sukar untuk beraksi dalam kesebelasan utamadi bawah pengurus, Ole Gunnar Solskjaer.

Bagaimanapun segala berubah apabila kecederaan Paul Pogba dan Scott McTominay memberi ruang untuk pemain berusia 31 tahun itu untuk kembali mendapat tempat dan membalas kepercayaan Solskjaer itu dengan aksi yang cemerlang sejak kebelakangan ini.

“Saya sangat gembira kerana diberi peluang untuk terus menjadi sebahagian daripada kelab hebat ini,” ujar Matic kepada laman web kelab.

Sementara itu, Solskjaer dalam ucapannya gembira apabila Matic bersetuju untuk menandatangani kontrak baharu yang akan menjadikan beliau pemain penting dalam pasukan.

“Saya tahu pengalaman, profesionalisme dan kepimpinannya akan menjadi sesuatu yang sangat berharga terutamanya buat kumpulan pemain muda berbakat di kelab ini,” kata Solskjaer.

Sejak saingan Liga Perdana Inggeris kembali bersambung, Matic kembali menjadi watak penting kepada prestasi cemerlang United sejak masuk sebagai pemain gantian ketika pasukannya seri 1-1 dengan Tottenham.

Dia telah diturunkan dalam kesebelasan utama untuk tiga perlawanan terakhir yang menyaksikan United menang ketiga-tiga perlawnan tersebut.

Sejak menyertai United dari Chelsea pada 2017, beliau telah membuat 114 penampilan dan menjaringkan empat gol. – MalaysiaGazette