Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) memandang serius gangguan bekalan air semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan melibatkan kira-kira 425,000 akaun iaitu lebih daripada satu juta pengguna secara langsung mulai 14 hingga 17 Julai ini.

Gangguan ini sudah pasti turut menjejaskan lebih banyak pengguna secara tidak langsung terutama operasi sektor perniagaan).

Oleh itu, Presiden AWER, Piarapakan S. mendesak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mewujudkan prosedur operasi standard (SOP).

SOP itu, jelasnya, membabitkan tangki-tangki statik yang akan ditempatkan di kawasan perumahan yang akan digunakan oleh orang ramai untuk mendapatkan bekalan air semasa gangguan.

Selain itu, premis perniagaan yang mana pelanggan perlu menggunakan kemudahan sanitasi, operasi pembersihan dan juga operasi kedai makanan dan minuman dan penyelarasan SOP antara MKN, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan pengendali air (Air Selangor).

Piarapakaran menambah, kebersihan diri sangat penting untuk memastikan rakyat di negara ini mengekang penyebaran Covid-19.

Jelas beliau, kerajaan telah berusaha keras untuk memastikan penyebaran Covid-19 terkawal dan gangguan bekalan air sebegini adalah risiko yang akan meningkatkan penyebaran penyakit jika SOP yang tepat tidak dilaksanakan dan dipraktikkan.

Selain itu, AWER mengesyorkan SOP yang lebih ketat untuk sektor makanan dan minuman (restoran dan gerai penjaja) yang menerima pelanggan secara fizikal dan dalam talian kerana air sangat penting untuk operasi mereka.

Tegasnya, gangguan bekalan air yang berlaku ini juga merupakan peringatan kepada individu-individu yang tidak bertanggungjawab hingga menyebabkan kelewatan serius dalam penyiapan Loji Rawatan Air Langat 2 dan rangkaian pengedaran yang pada awalnya dijadualkan siap pada tahun 2014.

”Sekiranya Langat 2 beroperasi sepenuhnya sekarang, risiko gangguan bekalan air adalah jauh lebih rendah dan kawasan yang terjejas dapat dikurangkan dengan banyak,” ujarnya.

AWER mahu MKN bertindak pantas untuk memastikan kelancaran pelaksanaan mekanisme gangguan air akibat penyelenggaraan terjadual semasa PKPP.

Semalam, Air Selangor memaklumkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 3 (LRA SSP3) akan dihenti tugas sementara pada jam 9 pagi, 14 Julai inii untuk kerja-kerja penambahbaikan dan penggantian aset kritikal di LRA tersebut.

Berikutan itu, sebanyak 290 kawasan di wilayah Petaling, Klang, Gombak, Kuala Lumpur dan Kuala Langat akan mengalami gangguan bekalan air berjadual. – MalaysiaGazette

Gangguan bekalan air di 290 kawasan pada 14 Julai