KUALA LUMPUR- Sime Darby Plantation Bhd. (SDP) akan berhubung dengan kumpulan anti-pemerdagangan manusia, Liberty Shared berhubung tuduhan syarikat tersebut menggunakan buruh paksa dan kanak-kanak di ladang miliknya serta syarikat bersekutu.

Tegasnya, ia memandang serius terhadap tuduhan tersebut.

“Ketika ini, SDP hanya boleh mengakses ringkasan petisyen berkenaan berhubung isu-isu yang telah diutarakan tanpa sebarang maklumat terperinci mengenai temubual yang telah dibuat.

“Atas dasar keterbukaan, ketelusan dan kerjasama yang dijunjung oleh SDP, kami berhasrat berhubung dengan Liberty Shared bagi mendapatkan penjelasan lebih mendalam mengenai tuduhan tersebut supaya kami boleh menjalankan siasatan terperinci dengan segera serta mengambil tindakan pembetulan sekiranya perlu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tuduhan itu dibuat dalam satu petisyen yang telah dihantar kepada Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat pada 20 April lalu itu, meminta kesemua minyak sawit dan produk sawit SDP dikeluarkan kerana menggunakan buruh paksa dan kanak-kanak.

Ia kemudiannya disiarkan kepada umum oleh Liberty Shared semalam.

“Kami ingin menegaskan bahawa petisyen tersebut telah dihantar tanpa mendapat pengesahan atau maklum balas terlebih dahulu daripada syarikat kami,” ujarnya lagi.

Tegas syarikat perladangan tersebut, sebagai sebuah pengeluar minyak sawit yang bertanggung jawab, SDP memandang tuduhan tersebut sebagai sesuatu yang serius kerana ia bertentangan dengan komitmen yang telah dibuat sebelum ini.

Syarikat katanya, telah berusaha keras termasuk bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan bagi memastikan amalan pekerjaan yang baik dan bertanggung jawab.- MalaysiaGazette