Jumlah perdagangan Malaysia pada April 2018 meningkat 11.7 peratus tahun ke tahun kepada RM155.42 bilion berbanding penurunan sebanyak 3.5 peratus pada Mac, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berjaya memperolehi Pensijilan Piawaian Antarabangsa ISO 37001: 2016 yang secara spesifiknya memperakui Sistem Pengurusan Anti Rasuah sebuah organisasi.

Melalui pensijilan ini, MITI telah menjadi kementerian keempat di Malaysia dan juga merupakan kementerian pertama di bawah kategori kementerian berisiko sederhana yang berjaya menerima pensijilan itu.

Pensijilan Antarabangsa ISO 37001: 2016 ABMS ini amat signifikan buat MITI dalam meningkatkan kecekapan dan ketelusan pengurusan di peringkat kementerian yang berteraskan prinsip governas, integriti dan anti rasuah.

”MITI menyahut aspirasi Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang dikenali kerana integritinya di peringkat antarabangsa Piawaian ISO 37001: 2016 – ABMS ini diperkenalkan oleh International Organisation for Standardisation (ISO) yang beribu pejabat di Geneva, Switzerland.

”Piawaian ini menyediakan kawalan berkesan bagi mengelak, mengesan dan bertindak dengan cepat terhadap perlakuan rasuah selain mempromosi budaya berintegriti, telus dan pematuhan kepada undang-undang.

“Keperluan bagi mematuhi ISO 37001:2016 ABMS turut ditekankan semasa Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) yang diadakan pada 8 Jun 2018,” kata MITI dalam satu kenyataan di sini.

Pensijilan Piawaian ISO 37001: 2016 – ABMS di MITI adalah susulan Projek Pembangunan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah MITI (SPAR MITI) yang telah dilaksanakan bermula pada 13 Mac 2019 dan selesai dibangunkan pada 26 Jun 2019.

Menurutnya, inisiatif ini dilihat akan menambah nilai kepada pelaksanaan tugas-tugas utama MITI seperti pelaksanaan aktiviti-aktiviti perdagangan, pembangunan industri, pelaburan berkualiti dan pengurusan Kementerian seperti pemberian kelulusan Sijil Tempasal (COO), Approved Permit (AP) dan perolehan kerajaan.

Dalam memperkasakan tadbir urus Kementerian, MITI telah membangunkan Dasar Anti-Rasuah MITI sejak 2019 bagi menguatkuasakan dasar dan prosedur yang berkesan dan telus untuk memantau, mencegah dan menghapuskan rasuah.

Selain itu, MITI turut membangunkan Polisi Perlindungan Pemberi Maklumat MITI, khusus bagi orang ramai untuk melaporkan salah laku yang melibatkan warga kerja MITI.

Di samping itu, MITI juga telah mewujudkan satu Jawatankuasa Khas yang berperanan sebagai semak dan imbang terhadap langkah-langkah kawalan yang diambil dalam membendung risiko rasuah di MITI. – MalaysiaGazette