Jadon Sancho.

LONDON – Borussia Dortmund dilaporkan memberi kata dua kepada Manchester United mengenai Jadon Sancho bagi menyelesaikan perpindahan pemain muda sensasi itu sehingga 10 Ogos depan.

Gergasi Bundesliga itu dikatakan nekad untuk menjual Sancho dengan harga £108 juta pound dan meminta kelab yang berminat untuk memenuhi harga tersebut.

Dortmund juga berpendapat spekulasi berterusan yang berkaitan dengan pemain utama mereka akan memberi kesan negatif kepada skuad itu.

Di samping itu, kelab itu turut mahu perpindahan Sancho segera dilakukan agar mereka dapat mencari pengganti dengan segera.

Sancho yang merupakan kelahiran England itu adalah salah satu sasaran utama pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer pada musim panas ini.

Penyerang sayap berusia 20 tahun itu memenuhi kriteria yang diinginkan Solskjaer untuk skuadnya di mana pengurus dari Norway ini mempunyai pelan jangka masa pnjang untuk pemain ini yang masih muda dan dahagakan kejuaraan.

Spekulasi perpindahan Sancho kini boleh dikatakan menjadi kian hangat kerana laporan sebelum ini mendedahkan United tidak mahu mengeluarkan dana yang besar untuk Sancho.

Menurut media UK, The Red Devils hanya mahu membayar maksimum £50 juta pound sahaja.

Malah United juga belum memberikan tawaran rasmi.

Menurut laporan Bild, tindakan Dortmund memberikan tarikh akhir dengan alasan tertentu. Mereka mahu memberi tekanan kepada United untuk ke arah yang lebih serius.

Berdasarkan laporan di Jerman, Sancho dilaporkan telah mencapai persetujuan peribadi dengan United termasuk gaji pokok bernilai £140,000 seminggu.

Namun gaji pokok Sancho boleh meningkat menjadi £200,000 seminggu bergantung pada prestasi.

Kedua-dua pihak dilaporkan bersetuju untuk kontrak lima tahun. – MalaysiaGazette