Usahawan yang mengambil skim pembiayaan daripada institusi kewangan atau bank perlu menyemak keupayaan aliran tunai serta tahap kesediaan  kewangan masing-masing.-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Usahawan yang mengambil skim pembiayaan daripada institusi kewangan atau bank perlu menyemak keupayaan aliran tunai serta tahap kesediaan  kewangan masing-masing.

Ia untuk membayar semula pinjaman selepas tamat tempoh moratorium September ini.

Dalam masa yang sama menurut Setiausaha Agung Persatuan Institusi-Institusi Pembangunan Kewangan Malaysia (ADFIM), Mohd Prasad Hanif, usahawan juga perlu memperkemaskan semula model perniagaan supaya dapat  menjamin keupayaan kewangan.

Kegagalan usahawan bersedia daripada awal akan mendedahkan perniagaan mereka kepada pelbagai risiko disebabkan jualan masih belum meningkat sepenuhnya manakala  aliran tunai menyusut kerana pembayaran semula pembiayaan.

 “Dalam keadaan ini, usahawan tidak sempat mendapatkan pembiayaan sewajarnya. Selain itu, kuasa pembeli pasca Covid-19 juga masih dalam proses adaptasi kepada normal baharu dan usahawan kemungkinan  tidak sempat mengubahsuai model perniagaan untuk mengikuti trend tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Prasad turut menyarankan usahawan supaya mendapatkan khidmat nasihat perniagaan dengan menghubungi Bahagian Pembangunan Usahawan di bawah agensi atau institusi yang menganggotai ADFIM.

 Mereka, menurunya, boleh menghubungi Center for Entrepreneur Development and Research (CEDAR), Technopreneur Training Academy (TENTRA), Bahagian Pembangunan Usahawan MARA, Institut Francais (Perbadanan Nasional Berhad), Agrobank Center for Excellence (ACE) ataupun mana-mana bahagian pembangunan usahawan di bawah Ahli-Ahli ADFIM yang membariskan perunding serta mentor yang berkelayakan dan berpengalaman.

 “Usahawan tidak perlu teragak-agak untuk mendapatkan khidmat nasihat mereka kerana ahli-ahli ADFIM akan terus komited memberikan perkhidmatan bantuan dan sokongan kepada mereka,” tambahnya.

Usahawan yang terlibat turut dinasihatkan untuk menghubungi cawangan agensi atau institusi kewangan yang berhampiran untuk mengetahui lebih lanjut sebarang kemudahan seperti khidmat nasihat kewangan, penjadualan semula pembiayaan ataupun penstrukturan semula pembiayaan yang ditawarkan oleh institusi tersebut.-MalaysiaGazette