Baidzawi Che Mat berkata, pihaknya telah melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk memacu sektor pelancongan menerusi konsep Rainforest to Reef’ (R2R), yang mana semua produk, aset dan pembangunan pelancongan digabungkan bagi menawarkan pengalaman pelancongan yang menyeluruh.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) akan terus menerajui pelaksanaan projek-projek strategik dan menarik pelaburan baharu untuk mengekalkan momentum pembangunan dan memulihkan semula ekonomi di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) pasca COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat berkata, majlis itu akan memberi tumpuan kepada agenda utamanya iaitu meneruskan transformasi dan pertumbuhan sosioekonomi wilayah itu.

“Oleh itu, sebagai tambahan kepada agenda pemulihan, projek-projek strategik yang telah dikenal pasti dalam Pelan Induk ECER 2.0 (EMP2.0) akan terus dilaksanakan untuk memastikan pertumbuhan jangka panjang di wilayah ini,” katanya dalam kenyataan.

Dalam sektor pembuatan, penyumbang terbesar dalam pembangunan ekonomi ECER, projek-projek infrastruktur termasuk peluasan taman-taman industri, logistik dan perkhidmatan akan dilaksanakan untuk meningkatkan daya saing ECER dan menarik lebih banyak pelaburan swasta.

Antaranya adalah peluasan Taman Biopolimer Kerteh di Terengganu, pembangunan Jalan Port Link Bandar Pelabuhan Kuantan dan pembinaan paip agihan air dari Kemaman ke Gebeng di Pahang.

Bagi mengukuhkan lagi daya tarikan wilayah ini sebagai destinasi pelaburan yang unik dan dinamik, ECERDC dan kerajaan negeri Pahang akan menubuhkan Pusat Sehenti (OSC) di Gebeng, Pahang, dalam Zon Ekonomi Khas ECER.

“Dalam tempoh 10 tahun lepas, ECER berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM122.6 bilion yang akan mewujudkan sebanyak 118,700 peluang pekerjaan dan membangunkan 10,720 usahawan.

“Walaupun pandemik ini telah membawa pelbagai cabaran, dengan strategi yang telah dirangka, kami yakin sasaran EMP2.0 dapat dicapai; iaitu menarik RM70 bilion pelaburan baharu, mewujudkan 120,000 peluang pekerjaan dan 60,000 orang usahawan baharu menjelang 2025,” katanya.

Sementara itu, wilayah ini berada di kedudukan yang baik untuk memanfaatkan permintaan terhadap pelancongan domestik berikutan sekatan perjalanan antarabangsa akan terus dikuatkuasakan dalam masa terdekat ini.

Bagi meningkatkan lagi pelancongan domestik, majlis itu berkata penting untuk tarikan pelancongan utama disiapkan, termasuk pembangunan semula Kampung Laut di Kelantan, Kampungstay Air Papan di Mersing, Johor, dan menaik taraf infrastruktur di pulau-pulau ECER.

COVID-19 juga telah menggariskan keperluan untuk menumpukan kepada isu jaminan makanan negara, justeru, meningkatkan pengeluaran makanan tempatan dan aktiviti hiliran lain akan menjadi tumpuan penting dalam jangka sederhana dan panjang.

Projek-projek perniagaan tani yang strategik akan dilaksanakan dan pelabur swasta akan dikenal pasti untuk bekerjasama di bawah kerjasama pintar awam-swasta.

Projek utama termasuklah penubuhan Lembah Tenusu Jemaluang yang disasarkan untuk menghasilkan 4.8 juta liter susu setahun, Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali yang akan memberi tumpuan kepada aktiviti pemprosesan dengan nilai tambah dan Taman Pemprosesan Ikan Endau Mersing yang akan mewujudkan pusat perikanan baharu di daerah tersebut serta platform bagi PKS untuk menghasilkan produk ikan bernilai tinggi.

Dalam usaha meningkatkan perdagangan rentas sempadan, antara projek utama yang penting untuk pertumbuhan ekonomi makro wilayah itu termasuklah pembangunan Pelabuhan Tok Bali sebagai pelabuhan serantau ke kawasan Indo-China, Taman Perindustrian Tok Bali, Jambatan Tak Bai-Pengkalan Kubor, Jambatan Rantau Panjang-Sg Golok dan projek tebatan banjir Sungai Golok yang akan meningkatkan perdagangan rentas sempadan antara Kelantan dan Thailand. – Bernama