KKM akan menjalankan ujian saringan ke atas 437 pendatang tanpa izinĀ  (PATI) yang ditempatkan di depot tahanan warga asing di Kuala Lumpur.-Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Seramai 115 warga asing masih menunggu keputusan ujian saringan Covid-19 ulangan sebelum dihantar pulang ke negara asal.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ujian saringan ulangan berkenaan merupakan syarat wajib yang perlu dipenuhi sebelum mereka dihantar pulang.

“Mereka ditahan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Sepang dan kita dalam proses menghantar pulang orang kena tahan.

“Ini saringan berulang, mereka telah disaring dulu dan satu syarat sebelum hantar pulang kita akan jalankan saringan,” katanya pada sidang media Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Covid-19 dalam negara hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, saringan yang dijalankan terhadap 98 orang kena tahan di DTI Bukit Jalil mendapati dua kes positif manakala 96 lagi adalah negatif.

Ujian melibatkan 91 warga India dan tujuh rakyat Nigeria.

“Yang dikesan positif kita asingkan di hospital untuk rawatan dalam tempoh dua minggu dan mereka yang terdedah kes positif akan dikuarantin juga untuk dua minggu,”tambah beliau.-MalaysiaGazette