Sahabat bersama dengan Leo, salah seorang renjer JHLS dan Dr. Roopan, pakar veterinar JHLS

KUALA LUMPUR – FGV Holdings Berhad (FGV) membantu Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) menanggung kos rawatan dan jagaan seekor anak gajah Borneo yang diselamatkan oleh pekerja ladang di Sahabat 54 berhampiran sempadan Hutan Simpan Tabin pada April lalu.

Gajah Borneo berusia dua tahun yang diberi nama ‘Sahabat’, ditemui berkeliaran di kawasan ladang oleh pekerja FGV dan ketika menunggu JHLS dan Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU) tiba, pekerja ladang telah mmbina tempat perlindungan sementara untuk gajah itu.

Hasil pemeriksaan JHLS dan WRU mendapati kedua-dua mata anak gajah terkena jangkitan teruk, memberi kesan kepada penglihatan dan menyebabkan Sahabat terpisah dari kawanannya.

Pekerja ladang kemudiannya membina peti khas bagi menempatkan Sahabat untuk mendapatkan rawatan lanjut di Taman Hidupan Liar Lok Kawi di Kota Kinabalu, lebih dari 500 km dari ladang.

”Kami bangga dengan pekerja kami yang berusaha gigih memberikan sokongan yang diperlukan oleh JHLS dan WRU. Misi menyelamat mengambil masa selama enam hari dan kami gembira kerana Sahabat berada dalam jagaan yang baik.

”Kami juga berbesar hati menjadikan Sahabat sebagai gajah angkat dan menanggung kos rawatan, makanan dan jagaan sepanjang tempoh rawatan” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Haris Fadzilah Hassan sambil menyifatkan ia sebahagian daripada komitmen kepada keperluan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari dan pensijilan Minyak Sawit Lestari.

Menurutnya, anggaran perbelanjaan untuk program selama tiga hingga enam bulan adalah sekitar RM16,000.00, bergantung pada status pemulihan Sahabat dan kesediaan untuk dilepaskan kembali ke habitat asal.

Sementara itu, Pengarah SWD, Augustine Tuuga berkata, doktor haiwan dan renjer bekerja 24 jam selama lebih dari dua bulan memastikan Sahabat menerima rawatan dan ubatan diberikan setiap jam.

“Kecederaan Sahabat merupakan jangkitan dwi-kuman dan bakteria pada konjungtiva. Sekiranya tidak dirawat, ia pasti akan menyebabkan hilang daya penglihatan kekal.

”Oleh itu, keputusan dibuat untuk menyelamatkan Sahabat dan membawanya ke sebuah fasiliti yang dapat merawat keadaannya menyebabkan 95% penglihatan Sahabat dapat dikembalikan,” katanya.

Ini bukan kali pertama pekerja FGV menyelamatkan gajah Borneo di kawasan ladang kerana pada bulan Mac, empat ekor gajah Borneo terperangkap semalaman di kolam Sahabat 50, menyebabkan para pekerja mengambil keputusan untuk merendahkan sisi kolam, bagi membolehkan gajah tersebut melepaskan diri dengan selamat.

Beberapa kes mengenai kematian tidak diingini gajah Borneo di ladang kelapa sawit pernah dilaporkan yang memberi kesan buruk kepada industri secara amnya.

Gajah Borneo (elephas maximus borneensis) kini merupakan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Bahagian 1 Jadual 1, Seksyen 25 (1) Haiwan Dilindungi Sepenuhnya di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar (EPHL) 1997 negeri Sabah dan sebarang kesalahan berkaitan spesis ini memperuntukkan denda sehingga RM250,000 dan penjara tidak kurang daripada lima tahun. – MalaysiaGazette